Rais Yatim didakwa menghasut berkait krisis adat N Sembilan

Bekas speaker Dewan Negara Rais Yatim didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, atas tuduhan menghasut berkait krisis adat Negeri Sembilan, Jun lalu.
Rais, 84, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, lapor Astro Awani.
Mengikut pertuduhan, Rais didakwa menyebut perkataan menghasut antaranya berbunyi “mendoakan selamat kepada Tunku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12. Jadi, selepas ini, bebaslah, yang, Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar ke-12, melakukan apa-apa sahaja hal kedirajaan. Dan seruan kami ialah tumpukanlah taat setia kepadanya, oleh kerana kita mengikut lunas undang-undang dan juga lunas adat yang ada di Negeri Sembilan.”
Rais yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka, 1 tengah hari, 5 Jun lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan yang dikendalikan barisan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Rais diwakili barisan lima peguam diketuai anaknya, Danni, bagaimanapun memohon jumlah jaminan itu dikurangkan.
Menurut Danni, tertuduh memberi kerjasama baik kepada mahkamah meskipun hanya dimaklumkan berkaitan pertuduhan kira-kira 10.30 malam tadi.
Hakim kemudian membenarkan Rais diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.