PAS ada angka, tetapi tiada calon PM jelas, kata penganalisis

PAS mungkin parti dengan jumlah kerusi terbanyak di Parlimen, tetapi keengganannya menamakan calon perdana menteri menunjukkan masih ada persoalan mengenai siapa yang mampu mendapat keyakinan rakyat untuk memimpin negara, kata penganalisis.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata keraguan itu menunjukkan PAS belum cukup yakin untuk mengetengahkan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon utama menerajui Putrajaya.
Katanya, persoalan itu bukan sekadar mengenai individu tertentu, sebaliknya mencerminkan cabaran kepimpinan lebih besar yang dihadapi parti Islam berkenaan.

“Bukan Samsuri sebagai individu atau Hadi sebagai presiden yang menjadi masalah, tetapi cabaran sistemik dalam PAS untuk mencari seseorang yang mampu memimpin Malaysia yang berbilang kaum,” katanya kepada FMT.
Isu itu kembali diperkatakan baru-baru ini selepas Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan mengapa PAS masih belum menamakan calon perdana menteri walaupun beberapa nama pernah diketengahkan sebelum ini.
Tun Faisal berkata Presiden PAS Hadi Awang sebaliknya menamakan Hamzah Zainudin dari Wawasan sebagai pilihan parti itu, manakala Pemuda PAS pada beberapa ketika pernah menyebut beberapa calon sebelum akhirnya memilih Samsuri.
Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad baru-baru ini pula berkata perkara itu masih terlalu awal dan belum dibincangkan dalam parti.
PAS kini mempunyai 43 kerusi Parlimen, menjadikannya parti dengan jumlah kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.
Syaza berkata nama Samsuri yang juga naib presiden PAS sering disebut kerana beliau dilihat sebagai tokoh kompromi.
Bagaimanapun, katanya, PAS berdepan kesukaran mengetengahkan Samsuri sebagai pilihannya kerana parti itu masih perlu mengambil kira penerimaan dalam hierarki parti, kepimpinan ulama serta rakan gabungannya.
Syaza berkata sekalipun Samsuri dicalonkan, PAS masih perlu meyakinkan sekutu berpotensi seperti BN dan Wawasan, terutama apabila pemimpin mereka mungkin menganggap diri lebih kanan.
“Dalam jangka pendek, saya tidak nampak siapa yang boleh diketengahkan PAS untuk meyakinkan orang ramai dan juga rakan gabungannya,” katanya.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting pula berkata keraguan PAS juga mungkin berpunca daripada keperluan parti itu mengurus keseimbangan dalaman menjelang PRU16.
Katanya, menamakan calon perdana menteri sekarang boleh mencetuskan ketegangan antara kepimpinan ulama, tokoh politik dan golongan teknokrat dalam PAS.
“Menamakan seorang calon terlalu awal boleh mencetuskan persaingan dalaman sebelum pilihan raya bermula,” katanya.
Zaharuddin berkata sikap PAS untuk tidak menamakan calon buat masa ini boleh difahami walaupun parti itu mempunyai kekuatan dari segi jumlah kerusi Parlimen.
Katanya, PAS mungkin mempunyai kekuatan untuk berunding, tetapi menamakan calon terlalu awal boleh menyukarkan parti itu mengurus jangkaan dalamannya serta kehendak sekutu berpotensi.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.