Menteri seru ibu bapa bantu anak bina tabiat digital sihat, kurangkan masa skrin

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyeru ibu bapa serta masyarakat membantu kanak-kanak membina tabiat digital sihat dengan mengurangkan masa skrin atau screen time dan memperbanyak aktiviti di dunia sebenar.
Beliau berkata, kanak-kanak berhak membesar dalam persekitaran yang selamat dan dilindungi termasuk ketika berada dalam talian.
“Dunia yang semakin digital ini memerlukan kita membantu mereka membina tabiat yang sihat. Kurangkan screen time, lebihkan masa untuk bermain, bergerak, belajar dan berinteraksi dengan dunia sebenar.
“Tanggungjawab kita bukan sekadar menjaga mereka hari ini, tetapi memastikan mereka membesar dengan sihat, yakin dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya di Facebook sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia hari ini.
Hari Kanak-kanak Sedunia disambut pada 20 Nov setiap tahun bagi menggalakkan kesedaran tentang isu dihadapi golongan itu di seluruh dunia.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.