Kami hadir untuk bantah, bukan setuju polisi perlindungan murid, kata NUTP

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa Kementerian Pendidikan (KPM) menyalah tafsir kehadiran mereka dalam sesi pembentangan pada Jun lalu sebagai tanda menyetujui pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah.
Presidennya, Aminuddin Awang, berkata kehadiran wakil kesatuan itu untuk membantah arahan menandatangani borang aku janji, namun gambar sesi berkenaan digunakan KPM bagi memberi gambaran seolah-olah NUTP menyokong dasar itu.
Menurutnya, sesi pembentangan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) pada 22 Jun lalu itu sebenarnya merangkumi taklimat mengenai pelbagai inisiatif utama berkaitan pembelajaran, keselamatan dan kebajikan murid, bukannya sesi khas memperincikan polisi berkenaan semata-mata.
“Bukan semestinya kita setuju. Hadir itu kadang-kadang untuk kita bantah. Memang kita hadir, tapi kita tak setuju aku janji.
“Dalam sesi itu, kita sudah kata tidak setuju sekiranya ada aku janji, tetapi dia teruskan juga,” katanya kepada FMT.
Aminuddin berkata, pihaknya telah memohon pertemuan susulan dengan KPM untuk mendapatkan penjelasan lanjut sebaik sahaja pekeliling dikeluarkan, namun kementerian kerap menangguhkan tarikh ditetapkan.
Jelasnya, mereka memilih mengutamakan rundingan terus dengan KPM terlebih dahulu, sebelum merancang tindakan lanjut.
Beliau mengulas hantaran Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Facebook semalam yang memberi jaminan polisi itu bukan bertujuan meletakkan seluruh beban keselamatan murid di bahu guru semata-mata atau menjadikan mereka “kambing hitam”.
Sekeping gambar turut disertakan bagi menegaskan KPM telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pemegang taruh, termasuk NUTP, sejak awal lagi.
Sebelum itu, Fadhlina dilaporkan berkata, KPM akan mengadakan sesi khas bersama pemegang taruh bagi memperincikan polisi perlindungan murid sekolah susulan kebimbangan ia mungkin membawa risiko kepada guru selepas arahan menandatangani borang aku janji berhubung kepatuhan polisi itu dalam satu pekeliling bertarikh 1 Julai lalu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.