Usah campur urusan Sabah dan Sarawak, ketua penerangan PAS diberitahu

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari diingatkan tidak masuk campur urusan politik Sabah dan Sarawak susulan cadangan penambahan kerusi Parlimen di negeri berkenaan.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Masiung Banah, berkata Fadhli cuba meniupkan politik permusuhan dua wilayah Borneo itu dengan kerajaan persekutuan.
“Kami mempunyai hak ke atas tuntutan nisbah kerusi Parlimen kerana ia memang termaktub bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang tertulis dalam lipatan sejarah ketika pembentukan Malaysia.
“Tidak timbul siapa perdana menteri mengumumkan penambahan nisbah kerusi melibatkan pindahan Perlembagaan itu kerana blok Borneo sudah sekian lama menuntut hak tersebut menerusi MA63,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, parti politik di Sabah termasuk pembangkang menghormati semua parti politik di Semenanjung termasuk PAS, namun tindakan Fadhli mencampuri urusan politik Borneo tidak boleh diterima.
Isnin lalu, Fadhli didakwa dengan nada sinis memperkecilkan pemimpin Sabah dan Sarawak dengan berkata ‘jangan jatuh gaung bersama Anwar’.
Masiung menegur Ahli Parlimen Pasir Mas itu supaya menjaga integriti PAS dan jangan bertindak menghulurkan ‘tangan ghaib’ sebagai penghasut dalam urusan politik Borneo.
Katanya, pemimpin Sabah dan Sarawak matang membuat keputusan sendiri tanpa perlu campur tangan orang luar.
“Sikap taasub dalam politik PAS tidak mendapat tempat di Sabah dan Sarawak, kerana rakyat Borneo sudah terkenal dengan semangat perpaduan dan saling hormat-menghormati walaupun berlainan fahaman politik,” katanya.
Beliau menganggap kelancangan Fadhli mencabuli perpaduan politik Sabah dan Sarawak sedangkan pemimpin negeri terbabit tidak pernah berbuat demikian kepada PAS.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.