Mafia korporat dan mafia politik: Siapa lindung siapa?

Kerajaan boleh mengumumkan berapa akaun dibekukan, berapa aset dirampas dan berapa orang disiasat. Namun, angka tidak menjawab soalan yang lebih mendasar iaitu apakah jaminan bahawa kuasa penguatkuasaan itu sendiri tidak diperalatkan untuk kepentingan pihak tertentu? Soalan ini menentukan kredibiliti seluruh usaha kerajaan. Apabila yang dipertikaikan ialah penyalahgunaan proses penguatkuasaan, statistik kejayaan sahaja belum memadai. Kerajaan perlu menunjukkan proses itu mempunyai benteng daripada campur tangan.
Dalam konteks tulisan ini, ‘mafia korporat’ merujuk kepada dakwaan tentang jaringan kepentingan perniagaan yang memperalatkan penguatkuasaan untuk kepentingan syarikat. ‘Mafia politik’ pula merujuk kepada jaringan yang menyalahgunakan pengaruh politik untuk melindungi kepentingan perniagaan, mempengaruhi tindakan institusi atau mengelak pertanggungjawaban. Kedua-duanya kerangka analisis, bukan kesimpulan bahawa individu tertentu telah melakukan jenayah. Hubungan kedua-duanya menjadi berisiko apabila wang membeli akses, akses mempengaruhi keputusan, dan keputusan institusi menguntungkan atau melindungi pihak tertentu. Jika terbukti, yang terjejas bukan sekadar persaingan perniagaan, tetapi kewibawaan proses penguatkuasaan negara.
Antara kuasa penguatkuasaan dan kepentingan korporat
Rafizi Ramli antara pengkritik yang lantang membangkitkan dakwaan bahawa tekanan penguatkuasaan termasuk pembekuan akaun, digunakan untuk mendesak pemindahan saham. Dakwaan tersebut perlu diuji melalui siasatan bebas. SPRM telah menafikan dakwaan mafia korporat yang dikaitkan dengannya dan menyifatkannya sebagai cubaan mencemarkan kredibiliti siasatan. Sebahagian dakwaan datang daripada pihak yang turut mempunyai kepentingan dalam pertikaian berkenaan. Kedudukan itu menuntut penelitian terhadap keterangannya. Ia tidak menjadikan dakwaan tersebut benar secara automatik, tetapi juga tidak membolehkan dakwaan diketepikan tanpa pemeriksaan.
Perbezaan antara penguatkuasaan sah dengan penyalahgunaannya terletak pada asas tindakan, tujuan dan proses keputusan. Pembekuan akaun boleh menjadi langkah penyiasatan yang diperlukan. Tetapi jika tindakan itu dikaitkan dengan desakan menyerahkan kepentingan perniagaan kepada pihak tertentu, persoalannya berubah sama sekali. Maka siasatan perlu menyusuri rantaian keputusan: siapa memulakan tindakan, apa bukti yang digunakan, siapa berhubung dengan pemilik syarikat, dan siapa akhirnya kelihatan mendapat manfaat. Menangkap orang tengah belum memadai jika pemberi arahan serta penerima keuntungan tidak dikenal pasti. Di sinilah mafia korporat bertemu mafia politik. Pengaruh politik tidak semestinya hadir melalui arahan bertulis. Ia boleh bergerak melalui akses istimewa, tekanan tidak rasmi atau jangkaan bahawa kehendak orang tertentu mesti dipenuhi. Sebab itu, penafian individu perlu disusuli pemeriksaan terhadap proses institusi. Prosedur rasmi tidak menjamin kebebasan keputusan jika pelaksanaannya boleh diarahkan untuk kepentingan persendirian.
Persoalan paling mendasar ialah sama ada pihak berkuasa sanggup menyiasat hubungan antara keuntungan korporat dengan perlindungan politik. Jika siasatan berhenti pada transaksi dan pelanggaran prosedur, pihak yang membuka jalan atau mempengaruhi keputusan mungkin terlepas daripada penelitian. Membanteras mafia korporat menuntut keberanian menjejaki siapa yang membolehkan kegiatan itu berlangsung, termasuk apabila jejak tersebut menghampiri pusat kuasa.
Kerajaan bertukar, pemain berubah, jaringan kekal?
Di Dewan Rakyat pada 20 Okt, perdana menteri turut membangkitkan dakwaan campur tangan politik dalam urusan korporat sejak era 1980-an dan 1990-an. Dimensi sejarah ini penting kerana ia mengalihkan perhatian daripada satu episod kepada kemungkinan kelemahan yang berulang merentas pentadbiran. Namun, sejarah hanya berguna jika membantu mengenal pasti mekanisme penyalahgunaan. Menyenaraikan kes lama tanpa membetulkan aturan yang memungkinkan kejadian serupa sekadar memanjangkan pertelingkahan politik.
Soalan utamanya ialah mengapa pertukaran kerajaan belum tentu memutuskan hubungan tidak sihat antara pengaruh politik dengan kepentingan korporat. Satu penjelasan ialah pertukaran pemegang jawatan berlaku lebih pantas daripada pembaharuan institusi. Jika akses kepada keputusan masih bergantung pada hubungan peribadi, pihak berkepentingan hanya perlu membina hubungan dengan pemegang kuasa baharu. Pemain baharu mungkin membawa bahasa pembaharuan, tetapi menggunakan saluran pengaruh yang sama. Maka perubahan wajah kepimpinan mesti disertai perubahan aturan. Jika tidak, jaringan lama terus bergerak melalui hubungan baharu, sedangkan rakyat menyangka perubahan politik sudah menghasilkan pembaharuan institusi.
Mafia politik, dalam pengertian ini, tidak semestinya terikat kepada sesuatu parti. Ia boleh menyesuaikan diri dengan perubahan kuasa selagi ruang campur tangan, kerahsiaan keputusan dan kelemahan pengawasan masih terbuka.Akibat ekonominya juga serius. Apabila hubungan politik dianggap lebih menentukan daripada produktiviti dan pematuhan, insentif perniagaan berubah. Wang dan masa dilaburkan untuk mendapatkan perlindungan, sementara usaha memperbaiki daya saing menjadi kurang utama. Peniaga yang enggan menyertai budaya itu pula berdepan ketidakpastian. Oleh itu, membanteras mafia politik memerlukan budi bicara tertakluk kepada semakan, alasan keputusan penting direkodkan dan hubungan dengan pihak berkepentingan diawasi. Ujian kejujuran kerajaan ialah kesediaannya menerima batas yang sama terhadap pengaruh sendiri. Pembaharuan sukar dipercayai jika ketelusan hanya dituntut daripada pentadbiran terdahulu. Kes lama yang berasas wajar disiasat. Dakwaan semasa mesti diberikan ketelitian yang sama. Membuka fail lama harus memperluas pertanggungjawaban, bukan menjadi tempat berlindung daripada persoalan hari ini.
Membongkar jaringan, memulihkan keadilan
Pengumuman pasukan petugas khas yang dipimpin peguam negara, dengan laporan dijanjikan dalam tempoh tiga bulan untuk didedahkan kepada umum, menyediakan peluang untuk menjawab persoalan tersebut. Kredibilitinya bergantung pada empat perkara.
Pertama, mandat mesti jelas. Adakah siasatan hanya menyentuh jenayah korporat, atau turut memeriksa dakwaan penyalahgunaan kuasa penguatkuasaan? Kedua-duanya berkait, tetapi memerlukan penelitian berbeza.
Kedua, konflik kepentingan mesti diurus secara nyata. Apabila dakwaan menyentuh tindakan pegawai dalam agensi yang turut menganggotai pasukan petugas, kerajaan perlu menjelaskan siapa menyiasat bahagian tersebut dan siapa menyemak dapatan mereka. Penglibatan agensi tidak dengan sendirinya menjejaskan siasatan. Namun, kebebasannya tidak boleh sekadar diminta untuk dipercayai. Ia mesti ditunjukkan melalui pembahagian tanggungjawab dan pengawasan yang jelas.
Ketiga, pengadu mesti mempunyai laluan selamat untuk menyerahkan keterangan. Gesaan mengemukakan bukti perlu disertai keupayaan penyiasat mendapatkan rekod yang berada di luar jangkauan pengadu.
Keempat, keadilan kepada mangsa mesti menjadi ukuran. Wang yang dipulihkan kepada negara tidak dengan sendirinya mengembalikan hak, pendapatan dan nama baik pihak yang terbukti teraniaya. Laluan pemulihan mereka mesti dijelaskan.Laporan akhir perlu membezakan dakwaan yang terbukti, tidak terbukti dan belum dapat dipastikan. Kekurangan bukti tidak wajar terus disamakan dengan aduan palsu. Dakwaan pula tidak boleh dianggap benar tanpa pembuktian.
Kenyataan demi kenyataan akan terus dikeluarkan. Tetapi apabila keyakinan awam menipis, penjelasan rasmi mudah menjadi angin lalu, malah menambah keraguan jika persoalan utama terus tidak terjawab. Kepercayaan mesti dibina melalui bukti, keterbukaan dan kesediaan menerima semakan. Kerajaan berpeluang menjadikan kontroversi ini titik pembaikan institusi. Ukuran kejayaannya ialah sama ada hubungan antara wang, pengaruh dan penguatkuasaan menjadi lebih telus serta sukar disalahgunakan. Perang terhadap mafia korporat akan kehilangan makna jika mafia politik masih mempunyai ruang melindunginya.
Selepas siasatan selesai, adakah sistem menjadi lebih adil, atau hanya penerima manfaatnya yang bertukar?
Penulis ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.