Inisiatif kesihatan paru-paru Malaysia boleh jadi model Asean

Inisiatif Kesihatan Paru-paru Kebangsaan (NLHI) pada asalnya dilancarkan untuk menangani kelewatan diagnosis kanser itu, kini diperluas sebagai model menyeluruh kesihatan paru-paru yang berpotensi diguna pakai di Asean.
NLHI dilancarkan pada Februari 2025 dengan tumpuan awal terhadap kanser paru-paru, antara paling lazim dalam kalangan lelaki Malaysia.
Menurut Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Nor Aryana Hassan, skop inisiatif itu kini jauh lebih luas.
“Apabila kami mula berbincang, kami mendapati inisiatif kesihatan paru-paru ini bukan sekadar mengenai kanser paru-paru. Ia sebenarnya lebih daripada itu,” katanya.
Daripada menjalankan program berasingan mengikut penyakit, KKM menggabungkan usaha berkaitan di bawah satu kerangka yang memberi tumpuan kepada kesihatan paru-paru secara menyeluruh.
Satukan usaha kesihatan paru-paru
Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr M Murallitharan, berkata NLHI bertujuan menyatukan usaha kesihatan paru-paru yang sebelum ini dilaksanakan secara berasingan.
“Kami menggunakan NLHI sebagai satu strategi untuk menyatukan sistem kesihatan kita, serta entiti di luar sistem kesihatan, supaya dapat bekerjasama meningkatkan kesihatan secara keseluruhan, dengan paru-paru sebagai fokus,” katanya.
NLHI kini merangkumi kanser paru-paru, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), asma dan tuberkulosis.
Penyakit itu berbeza dari segi klinikal, tetapi berkongsi faktor risiko seperti merokok, pendedahan di tempat kerja dan pencemaran udara.
Menurut Aryana, faktor risiko yang bertindih menunjukkan pencegahan tidak boleh hanya bergantung kepada KKM.
“Apabila kita bercakap mengenai pencegahan primer, ia sebenarnya melangkaui peranan KKM,” katanya.
Kerangka itu merangkumi pencegahan, saringan, diagnosis, rawatan dan penjagaan jangka panjang melalui klinik awam dan swasta, tempat kerja berisiko tinggi serta program komuniti.
Program paling dikenali bawah NLHI ialah LungShield, yang menggabungkan saringan X-ray dada dibantu kecerdasan buatan (AI) dengan insurans mikro bagi menampung kos ujian susulan.
Menangani halangan
Murallitharan berkata, sikap orang ramai terhadap pemeriksaan kesihatan turut menjadi cabaran.
“Kita begitu yakin dengan kesihatan sendiri sehingga tidak fikir sebarang pemeriksaan diperlukan. Itu masih menjadi halangan terbesar, iaitu penilaian terhadap diri sendiri,” katanya.
Bagi mereka yang mahu menjalani saringan pula, kos dan akses kepada ujian susulan boleh menjadi penghalang.
LungShield, yang dibangunkan NCSM bersama MCIS Life, cuba menutup jurang itu.
“Jika X-ray mengesan sesuatu, insurans akan menanggung semuanya sehingga ujian molekul dan penentuan tahap penyakit,” katanya.
Peserta membayar RM179 pada kadar promosi atau RM479 pada kadar korporat standard.
NCSM menggunakan perbezaan itu untuk memberi subsidi silang bagi saringan di kawasan luar bandar dan komuniti berpendapatan rendah.
Potensi model kepada Asean
Malaysia kini mahu memperluas beberapa elemen NLHI ke peringkat serantau.
Cadangan itu dibincangkan pada acara sampingan Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan Asean ke-17 di Kuala Lumpur dan kemudian dimasukkan dalam Agenda Kesihatan Strategik Asean (ASHA) 2026-2030 yang baru diluluskan.
Aryana berkata, langkah seterusnya ialah membangunkan pelan strategik berdasarkan program kesihatan paru-paru sedia ada di setiap negara anggota, sebelum garis panduan Asean dibentuk.
Namun, Murallitharan berkata negara Asean tidak perlu meniru keseluruhan model Malaysia atau membina sistem baharu dari awal, sebaliknya elemen NLHI boleh disesuaikan dengan sistem kesihatan dan keadaan pasaran setiap negara.
Sebagai contoh, katanya, LungShield boleh diperkenalkan melalui syarikat insurans yang sudah beroperasi di beberapa negara Asean.
Katanya, Malaysia juga telah merundingkan harga dengan penyedia teknologi bagi pihak rantau itu, bukan hanya untuk pasaran tempatan.
Beliau berkata, negara lain juga boleh menggunakan kadar yang dirunding Malaysia, sambil menyifatkannya sebagai contoh ‘semangat kejiranan’ di rantau ini.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.