Parti besar guna taktik ‘permainan hantu’, kata Nik Nazmi

Pemimpin Bersama Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan parti politik utama bergantung kepada taktik menakut-nakutkan untuk meraih undi, dan bukannya meyakinkan rakyat Malaysia supaya menyokong mereka berdasarkan dasar dan prinsip.
Nik Nazmi mendakwa, parti berkenaan menggunakan ‘cerita hantu’ mengenai apa yang mungkin berlaku jika musuh politik mereka memegang kuasa.
“DAP dia akan mainkan, kalau undi Bersama, PAS akan jadi kerajaan. Ataupun Umno balik, masuk balik.
”Kalau Umno pun main juga, kan? Dia kata, mungkin kalau orang Melayu tak bersatu, DAP berkuasa lagi. Itulah ‘permainan hantu’,” katanya pada satu acara di Pulau Pinang malam tadi.
Nik Nazmi berkata, Bersama mahu mengelak mengulangi apa yang disebutnya sebagai kesilapan parti-parti politik lama dan sedang merancang langkahnya secara berhati-hati.
“Parti Bersama ini, ia akan benar-benar berbeza. Ya, kita mahukan kuasa, tetapi kita mahu buat dengan betul.”
Beliau berkata, justeru ia bermakna Bersama memerlukan masa untuk mengukuhkan kedudukannya, dengan menganggarkan ia mungkin mengambil masa lima hingga tujuh tahun untuk membina sokongan secukupnya bagi mencabar parti politik utama negara.
Katanya, sejarah pilihan raya Pulau Pinang menunjukkan pengundinya bersedia menerima perubahan politik, sambil merujuk PRN 2008 apabila Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih kuasa daripada Barisan Nasional (BN).
“Pada 2008, anda mengundi DAP dan PKR. Jadi, harapan kami ialah anda akan mengundi kami jika anda sudah bosan dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.