Sorok 76kg ganja dalam bagasi, 3 rakyat Malaysia ditahan di Mauritius

Tiga rakyat Malaysia ditahan di Mauritius selepas 76.14kg bahan disyaki ganja ditemui dalam bagasi mereka pada 2 Nov lalu.
Pihak Berkuasa Hasil Mauritius (MRA) berkata, tiga rakyat Malaysia itu terdiri daripada dua lelaki berusia 22 dan 30 tahun serta seorang wanita berusia 18 tahun.
Jelasnya, tiga suspek yang menaiki penerbangan Emirates EK709 dari Dubai itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam (SSRIA).
“Selepas pemeriksaan profil dan soal siasat terhadap penumpang, pegawai Seksyen Antinarkotik Kastam memeriksa bagasi daftar masuk mereka.
“Hasil pemeriksaan menemui 70 bungkusan plastik hitam segi empat yang dibungkus secara vakum dan daun hijau disyaki ganja,” katanya dalam kenyataan 4 Nov lalu sambil menambah siasatan lanjut sedang dijalankan Unit Antidadah dan Antipenyeludupan Mauritius.
MRA berkata, dadah itu dianggarkan bernilai 114.21 juta rupee Mauritius (kira-kira RM9.87 juta) berdasarkan harga pasaran di negara berkenaan.
Dalam pada itu, media Mauritius melaporkan siasatan awal menunjukkan seorang daripada tiga suspek itu melalui Thailand sebelum meneruskan perjalanan ke Dubai dan Mauritius.
Lelaki 30 tahun yang dilaporkan tinggal dan bekerja sebagai pegawai keselamatan di Singapura itu membawa kira-kira 10.9kg ganja, manakala lelaki 22 tahun dan wanita 18 tahun yang dilaporkan tinggal bersama di Pulau Pinang, masing-masing membawa 32.5kg serta 32.6kg dadah.
Pada 23 Okt lalu, seorang cef warga Malaysia ditahan di SSRIA atas dakwaan mengedar 17.88kg ganja bernilai kira-kira RM2.18 juta yang ditemui dalam bagasinya.
Suspek berusia 55 tahun itu ditahan sebaik tiba dengan penerbangan dari Dubai.
Terdahulu, seorang warga Malaysia berusia 76 tahun ditahan di SSRIA setibanya dari Kuala Lumpur pada 15 Sept lalu, dengan 6.18kg kanabis bernilai 9.27 juta rupee Mauritius (RM793,000) ditemui dalam bagasinya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.