Shah Alam banjir akibat penebangan hutan, kata kumpulan alam sekitar

Banjir kilat di Shah Alam, Selangor, semalam yang merosakkan harta benda dan menyebabkan beberapa penduduk terpaksa berpindah, merupakan kesan daripada aktiviti penebangan hutan di kawasan itu, kata sebuah kumpulan alam sekitar hari ini.
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) berkata penduduk sudah menyuarakan kebimbangan sejak 2020, khususnya berhubung kerja-kerja pembersihan hutan di Bukit Cerakah yang telah dinyahwartakan sebagai hutan simpan.
Presiden Peka, Rajesh Nagarajan, berkata Hutan Komuniti Shah Alam seluas 174 hektar, antara kawasan hutan hujan tanah pamah yang masih berbaki di Shah Alam, yangn terus berdepan ancaman pembangunan.
“Hutan merupakan sistem perlindungan semula jadi daripada banjir. Hutan menyerap air hujan, mengawal aliran air dan menstabilkan cerun bukit. Apabila kawasan tadahan semula jadi ini digantikan dengan konkrit dan pembangunan pesat, masyarakat di kawasan hilir semakin terdedah kepada risiko banjir kilat dan tanah runtuh.
“Peka sudah memberi amaran kepada kerajaan Selangor mengenai bahaya ini pada Jun 2025. Namun, 17 bulan kemudian, Shah Alam sekali lagi dilanda banjir. Berapa banyak lagi amaran yang perlu diabaikan?” katanya dalam kenyataan.
Rajesh menggesa kerajaan Selangor mengenakan moratorium serta-merta terhadap kerja-kerja pembersihan hutan dan pembangunan di lereng bukit dalam ‘kawasan sensitif alam sekitar’.
Beliau turut menggesa Hutan Komuniti Shah Alam dan kawasan Bukit Cerakah yang mempunyai kepentingan ekologi diwartakan secara kekal sebagai hutan simpan.
“Peka menuntut kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa siasatan awam bebas berhubung kejadian banjir berulang di Shah Alam, termasuk sumbangan faktor penebangan hutan dan pembangunan, selain mendedahkan semua kelulusan pembangunan serta penilaian alam sekitar di kawasan hutan dan tadahan air berkaitan.
“Kerajaan Selangor tidak boleh terus mengorbankan hutan atas nama pembangunan, kemudian menyatakan simpati apabila masyarakat ditenggelami banjir. Setiap pokok yang ditebang, setiap cerun bukit yang dibersihkan dan setiap kawasan tadahan yang dimusnahkan meningkatkan beban yang terpaksa ditanggung penduduk biasa,” katanya.
Banjir kilat melanda beberapa kawasan di Lembah Klang petang semalam susulan hujan lebat, dengan Shah Alam antara kawasan yang paling teruk terjejas.
Kawasan paling teruk terjejas ialah Kampung Melayu Subang, apabila paras air mencecah 18.77m dari aras laut, menenggelamkan kenderaan dan menjejaskan 92 rumah.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.