Kian Ming keluar DAP

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming mengumumkan keluar daripada DAP serta-merta dan tidak bercadang menyertai parti politik lain atau bertanding pada PRU16.
Tetapi, katanya, beliau tetap komited menunaikan janjinya pada awal tahun ini untuk membantu bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin berkempen pada PRU16, jika beliau dicalonkan.
Dalam surat memaklumkan peletakan jawatannya kepada Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook pagi ini, Ong berkata, beliau bersyukur diberikan peluang menyumbang kepada parti dan negara melalui pelbagai cara sejak menyertai DAP pada 2012.
Beliau merupakan Ahli Parlimen Serdang dari 2013 hingga 2018, Ahli Parlimen Bangi dari 2018 hingga 2022, selain dilantik sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri (2018 – 2020), ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (2019 – 2022) dan ahli Jawatankuasa DAP Selangor (2018 – 2024).
“Saya ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada (bekas Ahli Parlimen Damansara) Tony Pua kerana jemputan beliau kepada saya untuk menyertai DAP dan panduan yang diberikan kepada saya tentang cara terbaik untuk berkhidmat kepada parti dan negara sepanjang 14 tahun lalu,” katanya dalam catatan di Facebook.
Beliau turut berterima kasih kepada bekas setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng kerana memberi peluang untuk dicalonkan di kerusi Parlimen Serdang dan Bangi, selain dilantik timbalan menteri.
“Saya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan ahli dan pemimpin DAP di Serdang dan Bangi semasa penggal saya sebagai Ahli Parlimen dari 2013 hingga 2022, berkhidmat untuk pengundi dan penduduk kawasan tersebut sebagai wakil rakyat mereka.”
Jelasnya, beliau akan terus berkhidmat untuk kepentingan negara melalui cara lain, termasuk dalam audio siarnya, melalui pelbagai jawatan penasihat dan bekerjasama dengan individu yang berfikiran serta mempunyai minat sama.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.