Selesai dana MyKhas, berdialog, PKR diberitahu

PKR perlu menyelesaikan pertikaian peruntukan Parlimen termasuk mengadakan dialog bermakna bersama wakil rakyat serta pemimpin akar umbinya susulan tindakan empat Ahli Parlimen keluar parti tahun ini, kata penganalisis.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Wong Chen (Subang) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya) bertindak meletakkan jawatan serta meninggalkan parti sebagai membantah akses kepada sistem peruntukan kawasan MyKhas dibatalkan.
Keduanya merupakan pengkritik lantang terhadap hala tuju PKR dan sering dikaitkan dengan bekas timbalan presiden parti, Rafizi Ramli, yang turut keluar parti pada Mei, yang kini memimpin Bersama di samping bekas naib presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Penganalisis politik Universiti Malaya, Tawfik Yaakub, berkata pertikaian mengenai akses sistem peruntukan kawasan MyKhas turut menyebabkan ketegangan dengan seorang lagi Ahli Parlimen PKR yang didakwa sekutu Rafizi, iaitu wakil rakyat Ampang Rodziah Ismail.

“Peruntukan Parlimen sepatutnya disalurkan berdasarkan prosedur jelas dan demi kepentingan penduduk kawasan, bukannya dilihat alat menghukum atau menekan wakil rakyat,” katanya kepada FMT.
“Ini penting kerana tindakan wakil rakyat dan ahli akar umbi keluar parti mampu melemahkan jentera, serta mewujudkan tanggapan PKR sukar menguruskan perbezaan pandangan dalaman.
“Lebih penting, penduduk kawasan tidak sepatutnya menanggung akibat perselisihan faham dalam kalangan pemimpin.”
Penganalisis Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Lau Zhe Wei yang senada dengan Tawfik, berkata tindakan PKR menyekat akses itu bercanggah pendirian parti itu sebelum ini yang memperjuangkan peruntukan saksama.

Beliau berkata, akses MyKhas Rodziah sepatutnya dipulihkan pada kadar segera memandangkan beliau masih kekal bersama PKR.
“Ini mungkin tidak memberi banyak manfaat kepada parti. Anda tidak akan meraih undi secara automatik hanya dengan memulihkan peruntukan tersebut, namun sekurang-kurangnya anda dapat mempertahankan prinsip dipegang,” katanya kepada FMT.
“Anda boleh menunjukkan bahawa anda berpegang teguh pada prinsip bahawa dana awam sepatutnya disalurkan kepada wakil rakyat, tanpa mengira kecenderungan politik.”
Dialog bermakna, pelan damai
Tawfik turut menyeru PKR mengadakan dialog bermakna antara pimpinan pusat, wakil rakyat, dan pemimpin akar umbi.
Beliau berkata, isu tatatertib sepatutnya dikendalikan menerusi proses telus bagi memberi peluang saksama kepada semua pihak untuk menjelaskan pendirian mereka.
“Perbezaan pendapat mengenai dasar kerajaan tidak patut secara automatik dianggap menentang parti,” katanya.
Bagi mengelak ketegangan memburuk lalu mencetuskan gelombang keluar parti seterusnya, Tawfik mencadangkan PKR menawarkan ‘pelan damai’ atau memberi pelepasan hukuman kepada wakil rakyat dan pemimpin akar umbi yang dikatakan bersekutu bersama Rafizi.
Beliau berkata, tawaran tersebut tidak sepatutnya sekadar simbolik semata-mata, sebaliknya perlu menangani punca utama ketegangan dalaman PKR.
Tawfik berkata, dalam kes Rodziah, kepimpinan PKR dan kerajaan sepatutnya memberikan penerangan jelas berhubung tindakan menyekat aksesnya kepada sistem peruntukan berkenaan, serta memastikan aktiviti berkaitan kawasan pilihan raya tidak terganggu.
“Sekiranya sekatan itu dilihat sebagai hukuman atas perbezaan politik, ia berisiko meningkatkan rasa disisihkan dan mendorong lebih ramai pemimpin berundur.
“Perdamaian hanya akan berkesan sekiranya disertai jaminan wakil rakyat boleh menjalankan tugas mereka, menyuarakan pandangan, dan berkhidmat kepada penduduk kawasan secara adil.”

Penganalisis Akademi Nusantara, Azmi Hassan, berpandangan ketegangan dalaman PKR berpunca ketidakpuasan hati Ahli Parlimen terhadap kepimpinan parti — faktor yang telah pun menyebabkan beberapa wakilnya meletakkan jawatan sebelum tamat penggal.
“Tiada strategi mengganti kepimpinan. Saya fikir perkara ini perlu diperbaiki kepimpinan sedia ada,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata, beberapa lagi Ahli Parlimen yang bersekutu dengan Rafizi masih kekal bersama parti, namun mungkin akan keluar PKR apabila Parlimen dibubarkan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.