Peluang kekal KM bukan ‘habuan politik’, kata Rauf

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Ab Rauf Yusoh tidak menganggap peluang untuk terus menjadi ketua menteri sebagai ‘habuan politik’, sebaliknya menegaskan keutamaannya kini memastikan gabungan itu memenangi PRN, 14 Nov depan.
Rauf berkata, tumpuannya ketika ini untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi bagi membolehkan BN meneruskan pentadbiran negeri dan bukannya memikirkan kedudukannya selepas pilihan raya.
“Saya tidak mengambil perkara itu sebagai satu habuan dalam sebuah perjalanan politik.
“Yang penting kita perlu bekerja untuk menang.
“Tidak guna berangan-angan kalau kita tidak dapat memenangi pilihan raya,” katanya dalam temu bual FMT.
Rauf mengulas kenyataan Pengerusi BN Zahid Hamidi yang beliau akan dicadangkan untuk terus menjadi ketua menteri sekiranya gabungan itu menang PRN Melaka.
Beliau dilantik sebagai ketua menteri Melaka ke-13 pada 31 Mac 2023, menggantikan Sulaiman Ali.
Menyentuh pertandingan di Tanjung Bidara, ketua Umno Melaka itu juga enggan terlalu dibuai keyakinan untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
“Tetapi saya percaya keupayaan yang ada pada parti kita dan pengalaman yang saya miliki tidak mudah untuk digantikan oleh orang lain,” katanya.
Rauf berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH) Yunazri Mustamiri.
Beliau terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu bertanding, namun mengingatkan seseorang calon perlu terlebih dahulu memahami kehidupan dan keperluan masyarakat setempat.
Katanya, penggunaan nama besar semata-mata untuk mempengaruhi pengundi tidak semestinya membawa manfaat kepada penduduk, terutama jika calon tidak tinggal di kawasan berkenaan.
“Untuk menjadi wakil rakyat, kita kena jadi rakyat dahulu,” katanya.
Rauf berkata, beliau dilahirkan dan dibesarkan di Tanjung Bidara sebagai anak kepada penoreh getah dan suri rumah, sekali gus memahami perubahan serta keperluan penduduk di kawasan itu sejak kecil.
“Saya akan gunakan pengalaman untuk membawa pembangunan lebih baik, khususnya bagi memastikan generasi muda menikmati kehidupan lebih berkualiti dalam tempoh akan datang,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.