4 dinamakan suspek tragedi feri Laut Jawa

Polis Indonesia menamakan empat individu sebagai suspek dalam insiden feri KM Virgo Transport 8 terbalik sebelum karam di Laut Jawa pada 13 Sept lalu, menurut polis Kalimantan Selatan pada Jumaat, lapor Xinhua.
Pegawai polis tempatan, Sigit Haryono, berkata empat suspek itu ialah kapten kapal, seorang pegawai daripada syarikat perkapalan dan logistik PT Virgo Karya Shipping, pengurus cawangan syarikat serta pengurus operasinya.
Menurutnya, kapten kapal kini ditahan di ibu pejabat polis Kalimantan Selatan, manakala tiga suspek lain dipanggil untuk disoal siasat.
Sehingga Jumaat, 80 mangsa ditemui maut, manakala 108 terselamat dan 55 masih hilang, menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas).
Feri yang membawa 243 penumpang itu bertolak dari Surabaya, Jawa Timur pada 12 Sept lalu menuju Banjarmasin, Kalimantan Selatan.
Feri itu berdepan cuaca buruk semasa pelayaran dan terputus hubungan kira-kira 2 pagi waktu tempatan pada 13 Sept lalu.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.