Tak perlu kaji semula hubungan dengan BN, kata wakil PKR Selangor

PKR tidak perlu mengkaji semula hubungan politiknya dengan Barisan Nasional (BN), sebaliknya harus bergerak dengan haluan politik sendiri, kata perwakilan PKR Selangor, Ahmad Danish Hairudin.
Beliau berkata, akar umbi mahu Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan kepimpinan parti membuat keputusan politik jelas demi kepentingan parti serta ahli di peringkat akar umbi.
Katanya, PKR tidak seharusnya terlalu sibuk menjaga hati pihak lain sehingga mengabaikan kepentingan keluarga sendiri.
“Maka, biarlah Kongres Nasional PKR 2026 menghantar satu mesej jelas, kepada yang setia kita hargai, kepada yang berkawan kita hormati, kepada yang menyerang, kita lawan.
“Kita akan lawan seperti mana kita lawan dalam tempoh 20 tahun lalu,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.
Atas semangat PKR, tegasnya, tiba masa parti itu kembali menggunakan panji sendiri pada pilihan raya akan datang, yang boleh dimulakan dengan PRN Melaka.
“Panji PKR inilah yang pernah membawa suara majoriti rakyat Malaysia sehingga menumbangkan keangkuhan dan kesombongan Umno-BN buat kali pertama pada 2018 di peringkat persekutuan.
“Sudah tiba masanya kita kembali menggunakan kekuatan dan identiti PKR untuk bergerak ke hadapan.”
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.