Kerajaan digesa pantas rebut peluang India seperti ‘China dahulu’

Malaysia perlu bertindak lebih pantas memanfaatkan pertumbuhan ekonomi India dan membantu syarikat tempatan mengukuhkan kedudukan dalam pasaran negara itu, kata seorang ahli ekonomi.

Yeah Kim Leng dari Sunway University berkata India berpotensi menjadi antara lima pasaran eksport terbesar Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang sekiranya usaha bersepadu dilakukan untuk memperluas kehadiran negara di sana.
Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah USD18.6 bilion (RM75 bilion) tahun lalu, menjadikan India rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia.
Eksport Malaysia ke India pula bernilai RM52.3 bilion pada 2025, meningkat sedikit berbanding RM52.13 bilion setahun sebelumnya.
Yeah menyamakan potensi ekonomi India ketika ini dengan China dari 1980-an hingga 2010-an, satu tempoh yang disifatkannya sebagai ‘era awal China’, apabila pertumbuhan kelas pertengahan meningkatkan kuasa beli pengguna.
China sudah lama menjadi antara rakan dagang terbesar Malaysia. Pada 2025, perdagangan antara kedua-dua negara melebihi USD191.7 bilion (RM541.9 bilion), manakala eksport Malaysia ke China mencecah RM188 bilion berbanding RM187 bilion tahun sebelumnya.
Menurut Bank Dunia, ekonomi India berkembang 7.6% pada tahun kewangan 2025-26, menjadikannya ekonomi utama yang mencatat pertumbuhan terpantas.
Dengan penduduk kira-kira 1.5 bilion, negara itu juga menawarkan pasaran pengguna yang luas dan semakin penting kepada perniagaan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka bertemu rakan sejawatannya Narendra Modi di luar Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi pada 12 dan 13 Sept.
Beliau kemudian dijadual melawat Kerala sebelum pulang pada 14 Sept.
Malaysia dan India semakin memperkukuh hubungan ekonomi sejak hubungan kedua-dua negara dinaik taraf kepada perkongsian strategik komprehensif pada 2024.
Perdagangan dua hala mencecah USD18.6 bilion (RM75.2 bilion) tahun lalu, dengan Malaysia mengeksport barangan bernilai USD12.2 bilion (RM43.9 bilion) ke India.
Yeah memberitahu FMT, peluang untuk syarikat Malaysia kini tidak lagi terhad kepada komoditi, sebaliknya turut merangkumi semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), kewangan digital, tenaga boleh baharu dan pembuatan termaju.
Beliau berkata semikonduktor menawarkan antara peluang kerjasama paling jelas kerana India mempunyai kekuatan dalam reka bentuk cip, manakala Malaysia sudah mempunyai industri pemasangan, pengujian dan pembungkusan yang kukuh.
Menurutnya, syarikat Malaysia tidak seharusnya cuba bersaing dengan syarikat India dari segi saiz, sebaliknya mencari bidang yang membolehkan kemahiran kejuruteraan, teknologi dan pengalaman mereka mengisi jurang dalam rantaian bekalan India yang sedang berkembang.
“Peluang sebenar adalah untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat bersaiz sederhana Malaysia menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan India yang berkembang sebagai pembekal komponen khusus, penyedia perkhidmatan dan rakan teknologi,” katanya.
Yeah juga berkata kejayaan lawatan Anwar tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah memorandum persefahaman yang ditandatangani atau nilai pelaburan yang diumumkan.
Sebaliknya, perhatian perlu diberikan kepada sama ada syarikat Malaysia benar-benar berjaya memperoleh serta melaksanakan kontrak di India, selain melihat sama ada inisiatif yang diumumkan sebelum ini menunjukkan kemajuan.
Ini termasuk rancangan mempererat kerjasama semikonduktor, penubuhan majlis digital Malaysia-India, hubungan pembayaran rentas sempadan, penggunaan lebih meluas ringgit dan rupee dalam urus niaga serta cadangan kerjasama dalam AI.
“Petunjuk sebenar kejayaan adalah sama ada syarikat Malaysia, khususnya PKS, benar-benar memasuki pasaran India secara aktif,” kata Yeah.

Pakar hubungan antarabangsa dari Universiti Malaya Geetha Govindasamy berkata hubungan ekonomi yang semakin kukuh menunjukkan kedua-dua kerajaan bersedia mengetepikan perselisihan yang pernah berlaku sebelum ini.
Antaranya kritikan Malaysia terhadap cara India menangani isu Kashmir dan Akta Pindaan Kewarganegaraan, selain pertikaian berkaitan permintaan India supaya pendakwah Dr Zakir Naik diekstradisi.
Beliau berkata Malaysia penting kepada India sebagai pintu masuk ke pasaran Asean yang lebih luas, manakala hubungan pertahanan serta komuniti diaspora India di Malaysia turut membuka ruang untuk hubungan lebih erat.
Bagaimanapun, Geetha mengingatkan supaya tidak terlalu mengharapkan kejayaan besar daripada pertemuan Anwar dengan Modi kerana tujuan utama perdana menteri berada di New Delhi adalah untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS.
Menurutnya, Malaysia masih boleh memperkukuh hubungan dengan India tanpa dilihat memihak kepada mana-mana negara dalam persaingan lebih luas antara India dan China.
“Memperkukuh hubungan dengan India tidak bermakna Malaysia memilih New Delhi, begitu juga mengekalkan hubungan kukuh dengan China tidak bermaksud kita memihak kepada Beijing,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.