Masalah anjing liar berpunca daripada kegagalan kerajaan, kata aktivis

Seorang aktivis hak haiwan membidas gesaan supaya tindakan lebih tegas diambil terhadap isu anjing liar, dengan berkata masalah itu berpunca daripada kegagalan kerajaan selama bertahun-tahun untuk menguruskan pembuangan, pembiakan dan pelesenan haiwan.
Rajesh Nagarajan dari Lawyers for Animal Rights berkata beliau turut berkongsi kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak susulan serangan anjing liar baru-baru ini, tetapi menegaskan bahawa anjing liar ‘bukan masalahnya’.
“Anjing liar tidak muncul dengan sendirinya. Ia berpunca daripada pembuangan haiwan, pembiakan yang tidak terkawal dan pihak berkuasa tempatan yang tidak pernah membangunkan sistem pengurusan populasi yang sebenar.
“Menjadikan haiwan itu sebagai sasaran sekarang bukanlah dasar keselamatan. Ia hanyalah alasan untuk menutup kegagalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa pihak berkuasa tempatan mengenal pasti “hotspot” anjing berkeliaran yang kerap menjadi tumpuan kanak-kanak bagi mencegah serangan terhadap golongan itu.
Ia susulan kes seorang kanak-kanak perempuan dua tahun cedera parah di bahagian kepala dan muka selepas diserang lima ekor anjing liar berhampiran rumah neneknya di Sungai Kelambu, Johor pada 5 Sept lalu.
Rajesh berkata jika lokasi panas benar-benar wujud, pihak berkuasa perlu menamakannya, menyiasatnya dan mengambil tindakan terhadap haiwan berkenaan.
Katanya, penguatkuasaan mesti membezakan antara haiwan yang benar-benar berbahaya dengan anjing sihat tetapi tiada pemilik dan melabelkan ‘anjing terbiar’ bukanlah penilaian risiko.
“Sebelum sebarang tindakan besar-besaran diambil, pihak berkuasa perlu memberikan jawapan: Berapa banyak aduan yang dibuat sebelum setiap serangan, dan apakah tindakan yang diambil terhadap aduan tersebut?
“Adakah haiwan berbahaya pernah dinilai atau diambil tindakan? Adakah program pemandulan dan vaksinasi benar-benar dibiayai?” katanya.
Rajesh turut menyuarakan kebimbangan mengenai mengenai kemungkinan adanya skim ganjaran atau pembunuhan beramai-ramai anjing terbiar, dengan berkata langkah sedemikian tidak akan menyelesaikan punca sebenar masalah.
“Menangkap anjing tanpa menyelesaikan isu pembuangan dan pembiakan hanya mewujudkan kitaran yang tidak berkesudahan.
“Haiwan baharu akan mengambil tempatnya dalam tempoh beberapa minggu,” katanya.
Beliau mencadangkan mewajibkan identifikasi, pemandulan dan vaksinasi haiwan dilaksanakan secara berterusan, penguatkuasaan terhadap pembuangan haiwan dipertingkatkan, penilaian profesional terhadap haiwan berbahaya dijalankan dan menyediakan data awam yang telus.
“Jika terdapat ancaman yang jelas dan serta-merta terhadap kanak-kanak, bertindaklah dengan tegas terhadap haiwan yang berbahaya, bukannya setiap haiwan yang tidak mempunyai pemilik,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.