PunchNigerian scholar wins research trophy at Manchester UniversityThe Jerusalem PostBritish lord claims Jewish attitudes towards Israel 'undoubtedly' cause of antisemitism - reportCNN TürkPilot Lisans Yönetmeliği'nde değişiklik한겨레정성호 “최민희 징계 안할 순 없지만, 정치력 발휘해야ZDF heuteAktuelle Pressemitteilungen des ZDFSCMP ChinaApec brings world leaders and probably 2 ‘nuclear briefcases’ to Shenzhen매일경제“어제부터 휴대폰 끄고 잠적”…‘리트 만점’ 이진우, 공개검증자리 불참The Sydney Morning HeraldGTA 6 LIVE updates: Consequences for violence, removal of sex workers and stunning gameplay revealed as thirteen-year wait for iconic game ends; reviews say it’s the greatest game ever madeSportstarIndia vs New Zealand, 1st Test Day 1 LIVE score: Play resumes after Lunch; NZ 64/4 (24)ABC NewsCMA Awards 2026: Taylor Swift, Ella Langley, Jessica Chastain and more hit the carpetCBS NewsIran ramps up attacks on Gulf countries after U.S. strikesEl ComercioLima 2027: El pedido urgente del entrenador de la Selección Peruana de Taekwondo Poomsae
The Daily Newsstand · Free, Always
Thursday, November 19, 2026

Rasuah dan generasi muda: Sejauh manakah pendidikan integriti berkesan?

Translate

Golongan muda merupakan aset dan pewaris masa depan negara. Namun, perkembangan penglibatan sebahagian golongan muda dalam jenayah rasuah menimbulkan kebimbangan tentang pembentukan nilai integriti, amanah dan kejujuran dalam masyarakat. Statistik yang didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa seramai 2,593 individu berumur antara 16 hingga 40 tahun terdiri dalam kalangan pegawai awam, sektor swasta dan orang awam telah ditangkap atas pelbagai kesalahan rasuah sepanjang tempoh 2020 hingga 2025. Daripada jumlah tersebut, 1,548 pertuduhan telah direkodkan dan 809 individu disabitkan kesalahan.

Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi satu peringatan bahawa ancaman rasuah turut melibatkan generasi yang bakal mewarisi kepemimpinan dan pembangunan negara.

Hakikatnya, kerajaan telah mengambil langkah penting dengan mewajibkan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) melalui Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) mulai tahun 2023. Inisiatif ini merupakan hasil keputusan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada 19 April 2021. Langkah tersebut wajar dihargai. Namun, persoalan yang lebih besar ialah sejauh manakah pendidikan tersebut berjaya membentuk mahasiswa yang benar-benar menghayati nilai integriti, antirasuah, amanah, mempunyai keberanian moral dan mampu menolak rasuah apabila berhadapan dengan godaan serta kepentingan peribadi?

Kita tidak mahu pendidikan antirasuah sekadar menjadi syarat untuk bergraduat, sebaliknya mesti menjadi asas pembentukan generasi yang berintegriti dan membenci rasuah.

Rasuah bukan bermula apabila memegang jawatan

Satu kesilapan dalam pendekatan pencegahan rasuah ialah kita terlalu menumpukan perhatian kepada individu yang telah mempunyai kuasa, jawatan dan kedudukan dalam organisasi. Hakikatnya, nilai yang menentukan sama ada seseorang akan menjadi individu berintegriti atau sebaliknya telah dibentuk jauh lebih awal melalui pendidikan, persekitaran keluarga, rakan sebaya dan budaya masyarakat.

Sikap tidak jujur, suka menipu, mengambil hak orang lain, memalsukan maklumat dan menggunakan hubungan untuk mendapatkan keistimewaan boleh menjadi asas kepada pembentukan tingkah laku tidak berintegriti. Jika perbuatan tersebut dianggap perkara biasa sejak kecil, tidak mustahil sikap yang sama akan terbawa-bawa apabila seseorang memasuki alam pekerjaan dan diberikan kuasa membuat keputusan.

Kita perlu memahami bahawa rasuah bukan hanya berlaku apabila seseorang menerima wang untuk memberikan sesuatu kelulusan. Ia juga boleh bermula daripada sikap sanggup menggadaikan prinsip dan amanah demi kepentingan diri. Justeru, pendidikan antirasuah tidak boleh hanya bermula apabila seseorang memasuki universiti atau alam pekerjaan. Ia perlu diterapkan sejak di bangku sekolah, malah nilai kejujuran dan amanah perlu dibentuk sejak dalam keluarga.

Bukan sekadar syarat bergraduat

Pelaksanaan KIAR sebagai kursus wajib di IPT merupakan satu langkah penting dalam agenda pendidikan antirasuah negara. Kursus ini memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai konsep integriti, jenis dan bentuk perlakuan rasuah, kesalahan lain berkaitan rasuah, punca, kesan atau akibat rasuah dan tanggungjawab masyarakat dalam usaha pencegahan.

Namun, kejayaan pelaksanaan KIAR tidak sepatutnya diukur berdasarkan jumlah mahasiswa yang mendaftar, mengikuti kuliah atau lulus peperiksaan semata-mata. Persoalan yang perlu diberikan perhatian ialah sama ada mahasiswa benar-benar memahami dan menghayati nilai integriti sehingga mampu mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Adakah mereka berani menolak pemberian wang atau hadiah yang mempunyai kepentingan tertentu? Adakah mereka sanggup melaporkan salah laku apabila mengetahuinya? Adakah mereka mampu mempertahankan prinsip apabila berhadapan dengan tekanan rakan, majikan atau pihak yang mempunyai kedudukan? Hal inilah ukuran sebenar keberkesanan pendidikan antirasuah. Oleh itu, Kementerian Pendidikan Tinggi bersama SPRM perlu melaksanakan penilaian impak KIAR secara berkala.

Penilaian hendaklah merangkumi perubahan kefahaman, sikap, pertimbangan moral dan kesediaan mahasiswa menolak serta melaporkan perlakuan rasuah. Jangan sekadar memastikan mahasiswa lulus KIAR. Pastikan mereka benar-benar mengamalkan nilai integriti selepas meninggalkan universiti kelak dan memasuki alam pekerjaan.

5 faktor mendorong rasuah

Pada pandangan saya, terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi kecenderungan sebahagian generasi muda untuk terlibat dalam perbuatan tidak berintegriti. Antaranya adalah:

1) Kelemahan pendidikan nilai dan pembentukan akhlak

Pendidikan tidak seharusnya hanya menumpukan pencapaian akademik, kelayakan dan kejayaan memperoleh pekerjaan. Pembentukan akhlak, amanah, kejujuran dan tanggungjawab perlu menjadi sebahagian daripada proses pendidikan.

2) Budaya menghalalkan jalan pintas

Apabila seseorang menganggap menipu, memalsukan maklumat, meniru dalam peperiksaan atau menggunakan hubungan untuk memperoleh kelebihan sebagai perkara biasa, nilai integriti semakin terhakis. Budaya ini boleh membentuk pemikiran bahawa kejayaan lebih penting daripada cara seseorang mencapai kejayaan tersebut.

3) Pengaruh persekitaran dan rakan sebaya

Generasi muda mudah terpengaruh dengan tingkah laku masyarakat sekeliling. Jika mereka melihat perbuatan tidak jujur diberikan ganjaran atau dibiarkan tanpa tindakan, mereka mungkin menganggap integriti bukan lagi sesuatu yang penting.

4) Keinginan mendapatkan kekayaan dengan cepat

Keinginan untuk hidup mewah, memiliki barangan berjenama dan mengejar status sosial boleh mendorong seseorang mengabaikan prinsip apabila kepentingan material mengatasi pertimbangan moral.

5) Kurangnya keberanian moral untuk kata tidak kepada rasuah

Mengetahui bahawa rasuah itu salah tidak semestinya menjadikan seseorang berani menolaknya. Cabaran sebenar berlaku apabila seseorang berhadapan dengan tekanan, pujukan, ancaman atau peluang mendapatkan keuntungan peribadi.

Oleh itu, generasi muda perlu dibentuk bukan sahaja supaya mengetahui bahawa rasuah merupakan kesalahan undang-undang, tetapi mempunyai keberanian untuk menolak, melaporkan dan tidak bersubahat dengan perbuatan tersebut.

Bukan hanya berlaku dalam sektor awam

Pendidikan antirasuah tidak seharusnya dihadkan kepada persediaan generasi muda untuk memasuki perkhidmatan awam sahaja. Apabila mereka bekerja dalam sektor swasta, syarikat, institusi kewangan, GLC atau menjalankan perniagaan sendiri, mereka juga akan berhadapan dengan pelbagai risiko rasuah. Antaranya termasuk menerima komisen tidak sah, memberikan hadiah dengan niat mempengaruhi keputusan, memanipulasi tuntutan, menyalahgunakan wang syarikat, melakukan penipuan perolehan dan menyalahgunakan maklumat sulit.

Malah, apabila seseorang menjadi usahawan atau kontraktor, mereka mungkin berhadapan dengan situasi diminta memberikan wang atau habuan bagi mendapatkan kontrak, kelulusan atau kemudahan tertentu. Dalam konteks ini, generasi muda perlu memahami bahawa pemberi dan penerima suapan sama-sama boleh melakukan kesalahan di sisi undang-undang.

Mereka juga perlu diberikan pendedahan mengenai Akta SPRM 2009, termasuk Seksyen 17A berkaitan liabiliti korporat, supaya memahami bahawa organisasi perniagaan juga mempunyai tanggungjawab mencegah rasuah.

5 Langkah bentuk generasi antirasuah

Bagi memastikan pendidikan antirasuah memberikan kesan yang lebih besar, INTRAS mencadangkan lima langkah utama:

1) Memperkasakan pendidikan antirasuah di sekolah

Pendidikan integriti perlu diterapkan sejak sekolah rendah hingga sekolah menengah melalui aktiviti pembelajaran, perbincangan kes, simulasi situasi rasuah dan pembentukan budaya jujur. Murid perlu dididik bahawa meniru dalam peperiksaan, menipu dan mengambil hak orang lain juga merupakan perbuatan yang bertentangan dengan nilai integriti.

2) Menilai keberkesanan KIAR di IPT

Kementerian Pendidikan Tinggi bersama SPRM perlu melaksanakan kajian impak KIAR secara berkala. Penilaian tidak seharusnya hanya berdasarkan jumlah mahasiswa yang mengikuti kursus atau keputusan peperiksaan, tetapi turut melihat perubahan sikap, kefahaman dan keberanian moral untuk menolak rasuah.

3) Memperkasakan peranan keluarga

Pendidikan integriti bermula di rumah. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan melalui sikap jujur, amanah, bertanggungjawab dan tidak menghalalkan perbuatan salah demi kepentingan keluarga. Anak-anak tidak boleh diajar supaya mengejar kejayaan dengan apa cara sekalipun.

4) Membina kumpulan pemimpin muda antirasuah

INTRAS mencadangkan lebih banyak program kepimpinan dan sukarelawan antirasuah diwujudkan di sekolah dan IPT. Generasi muda perlu diberikan ruang untuk menjadi ejen perubahan, menyebarkan mesej integriti dan membudayakan penolakan terhadap rasuah dalam kalangan rakan sebaya.

5) Memperkukuh pendidikan integriti di tempat kerja

Majikan, GLC, syarikat swasta dan organisasi perlu memastikan pekerja baharu diberikan pendedahan berkaitan etika kerja, konflik kepentingan, salah guna kuasa, penerimaan hadiah dan tanggungjawab melaporkan salah laku. Pendidikan ini perlu diteruskan sepanjang perkhidmatan, bukan sekadar semasa orientasi pekerja baharu.

Jangan lahir generasi bijak tiada integriti

Kita tidak mahu melahirkan generasi yang mempunyai kelulusan akademik tinggi, kemahiran profesional yang hebat dan kedudukan ekonomi yang baik, tetapi tidak mempunyai nilai amanah dan kejujuran. Kita juga tidak mahu generasi yang bijak mencari peluang, tetapi menggunakan kebijaksanaan tersebut untuk memanipulasi sistem, mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan melalui jalan yang salah.

Negara memerlukan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan dan kerjaya, tetapi mempunyai prinsip moral yang kukuh, berani mempertahankan kebenaran dan tidak mudah tunduk kepada godaan rasuah. Perjuangan membanteras rasuah tidak boleh bergantung kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata. Penguatkuasaan perlu berjalan seiring dengan pendidikan, pembentukan akhlak dan pengukuhan sistem governans.

INTRAS berpandangan bahawa pendidikan antirasuah perlu dijadikan agenda pembangunan modal insan negara. Sekolah, IPT, keluarga, kerajaan dan sektor swasta perlu memainkan peranan masing-masing. Kita perlu mengubah pemikiran masyarakat daripada sekadar mengajar generasi muda supaya takut ditangkap kerana melakukan rasuah kepada mendidik mereka supaya menolak rasuah kerana memahami bahawa perbuatan tersebut merupakan pengkhianatan terhadap amanah, masyarakat dan negara.

Akhirnya, persoalan yang perlu kita renungkan ialah: Apakah maknanya kita berjaya melahirkan generasi yang berpendidikan tinggi, tetapi gagal membentuk generasi yang berintegriti?

Jangan tunggu generasi muda menjadi pemimpin untuk mengajar mereka tentang amanah. Bentuklah mereka sejak hari ini supaya apabila diberikan kuasa dan kedudukan pada masa hadapan, mereka tidak mengkhianati kepercayaan rakyat.

Jangan sekadar mewajibkan kursus antirasuah. Pastikan pendidikan antirasuah berjaya melahirkan generasi yang benar-benar menolak rasuah.

Pendidikan membentuk ilmu, akhlak membentuk peribadi dan integriti menentukan masa depan negara. Tolak rasuah, tegakkan amanah. Perjuangan antirasuah
bermula di sekolah.

Mohamad Fauzi Husin adalah presiden Pertubuhan Integriti Dan Antirasuah Malaysia dan bekas timbalan pesuruhjaya SPRM.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.