Perjanjian dengan Cexim kurangkan kerugian projek paip kepada RM3 bilion, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata, perjanjian penyaluran semula pinjaman kerajaan dengan sebuah bank China berjaya mengurangkan kerugian RM8 bilion kepada RM3 bilion susulan pembatalan projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP).
Perdana menteri berkata, tanpa perjanjian itu, Putrajaya terpaksa menanggung kerugian sehingga RM8 bilion susulan obligasi membayar balik pinjaman daripada Bank Eksport-Import China (Cexim) bagi membiayai dua projek dibatalkan itu.
“Kerugian negara dapat dikurangkan kepada RM3 bilion kerana kita mendapat balik nilai RM5 bilion dalam bentuk pembiayaan projek pembangunan baharu Skim Bekalan Air Perak Utara-Pulau Pinang (NPWSS).
“Kerugian RM3 bilion berbangkit daripada pampasan kepada kontraktor, antara lain bagi kerja awalan dan kos ditanggung,” katanya menurut Berita Harian.
Pada 30 Okt lalu, Kementerian Kewangan dilaporkan berkata, perjanjian penyaluran semula pinjaman itu ditandatangani sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan), iaitu Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd, dengan Cexim.
Projek TSGP dan MPP yang bermula 2016, dibatalkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan pada Ogos 2018.
Pentadbiran Muhyiddin Yassin menghidupkan semula projek TSGP bernilai RM4.06 bilion itu pada 2021, sebelum kerajaan pimpinan Anwar membatalkannya sekali lagi tahun lalu.
Anwar berkata, NPWSS akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan syarikat China, manakala kontrak projek akan diberikan menerusi proses tender terbuka membabitkan kontraktor tempatan.
NPWSS akan membantu menyalurkan air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, serta merangkumi pembinaan loji rawatan air di Kamunting dan Bogak.
Projek itu disasarkan dapat membekalkan 700 juta liter air sehari ke utara Perak, termasuk kawasan perindustrian Kerian, 300 juta liter sehari ke Pulau Pinang serta 500 juta liter air mentah sehari bagi tujuan pengairan pertanian.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.