PKR kerjasama dengan Umno juga, kata Chow

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata PKR masih bekerjasama dengan Umno dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan susulan persoalan berhubung pembabitan parti itu dalam pentadbiran negeri.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Adun PKR, Fahmi Zainol, mengapa kerajaan negeri pimpinan DAP masih mengekalkan wakil Umno dalam pentadbirannya.
Adun Pantai Jerejak itu berkata, DAP dan Umno saling berbalas kritikan menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Tetapi, partinya sendiri bekerjasama dengan Umno di peringkat persekutuan, bukankah begitu?” kata Chow selepas Konvensyen Baba Nyonya Antarabangsa Pulau Pinang ke-37 di sebuah hotel, di sini.
Dalam satu video TikTok yang dimuat naik Rabu lalu, Fahmi mempersoalkan berapa lama lagi DAP akan terus mengekalkan Umno dalam kerajaan Pulau Pinang.
Rashidi Zinol satu-satunya wakil Umno dalam pentadbiran Chow.
Adun Sungai Acheh itu memegang portfolio exco pembangunan luar bandar, agroteknologi & keterjaminan makanan dan keusahawanan.
Fahmi yang juga bekas exco berkata, Pakatan Harapan (PH) dan DAP mungkin menyesal kerana mengekalkan Umno dalam kerajaan Pulau Pinang dan turut memberi amaran tindakan itu berisiko menyebabkan mereka tewas pada PRN akan datang.
Pada 18 Nov lalu, Guang Ming Daily melaporkan PH Pulau Pinang akan mengadakan pertemuan pada 28 Nov ini bagi membincangkan hubungan kerjasama dengan Umno di negeri itu.
Akhbar berbahasa Cina itu melaporkan PKR Pulau Pinang turut mengadakan mesyuarat pada 17 Nov lalu bagi membincangkan perkara sama.
Menurut sumber dalaman parti dipetik akhbar itu, PKR membincangkan kemungkinan menyemak semula pelantikan pemimpin Umno sebagai ahli pihak berkuasa tempatan, penyelaras kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Chow yang juga pengerusi PH Pulau Pinang berkata, kepimpinan parti komponen di peringkat negeri boleh menyuarakan pandangan masing-masing, tetapi keputusan muktamad terletak di tangan kepimpinan pusat PH.
“Kita tidak boleh terus membincangkan perkara ini dalam setiap mesyuarat kerana persetujuan telah dicapai antara PH dan BN di peringkat persekutuan serta negeri untuk bekerjasama sehingga tamat penggal.”
Chow akan jelaskan perjanjian air
Chow berkata, kerajaan negeri akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi menjelaskan perjanjian bekalan air pukal (BWSA) bernilai RM24.6 bilion dengan Perak.
Keputusan Chow mengadakan sidang media itu susulan kritikan berulang daripada bekas ketua menteri Pulau Pinang merangkap Adun Air Putih, Lim Guan Eng berhubung perjanjian bekalan air berkenaan.
“Saya akan mengadakan sidang media dalam beberapa hari lagi. Sementara itu, beliau (Lim) boleh terus mengemukakan pandangannya.”
Sebelum ini, Lim mengkritik kerajaan negeri berhubung persetujuan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) membayar RM210 juta setahun kepada Perak selama 40 tahun, walaupun tiada bekalan air terawat disalurkan ke Pulau Pinang.
Lim mendakwa Chow dan Exco negeri, Zairil Khir Johari gagal menjelaskan rasional di sebalik syarat itu.
Tetapi, Chow berkata, perjanjian 40 tahun itu turut merangkumi langkah perlindungan, jika berlaku kekurangan bekalan air, selain membenarkan PBAPP menamatkan perjanjian berkenaan dalam keadaan tertentu.
Beliau turut mendakwa Lim mengelirukan orang ramai berhubung perjanjian bekalan air itu, walaupun penjelasan diberikan berulang kali.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.