Kemelut PN: Peja ‘kecewa, marah, malu, dikhianati’

Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menyifatkan kemelut dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai sesuatu yang mengecewakan, memalukan dan mengkhianati perjuangan yang dibina bersama.
Faizal atau lebih dikenali Peja kecewa kerana perkara pada asalnya kecil kini menjadi kemelut yang boleh membawa kesan besar.
“Beritakanlah. Bahawa, tentu sekali aku berasa kecewa, marah, malu dan dikhianati,” katanya di Facebook.
Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau turut menyindir pemimpin yang didakwanya berubah sikap selepas seorang pemimpin tidak lagi berada di kedudukan tertinggi.
“Ketika pemimpin itu di atas, kamu tunduk, kamu hormat, kamu berkongsi segala nikmat, merasa bagaimana berkuasa.
“Ketika pemimpin itu di bawah, kamu pula mendongak, kamu bongkak dan khianat kepada tutur janji,” katanya.
Beliau turut mengkritik pihak yang menyalahkan pemimpin lain atas setiap masalah tanpa mengakui kesilapan sendiri.
Faizal juga mengingatkan dirinya tiada siapa yang maksum dan setiap orang perlu bersedia memperbetulkan kesilapan masing-masing.
“Aku beringat kepada diri sendiri. Aku bukan maksum. Tentu aku ada salah silap. Aku mesti perbetulkan.
“Aku tak perlu menuding jari seakan aku sentiasa betul, orang lain sentiasa salah. Mungkin kamu juga, seharusnya, sedemikian,” katanya.
Kenyataan itu menyusul ketika hubungan Bersatu dan PAS terus tegang, termasuk selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 Sept susulan aduan Bersatu.
JPPM berkata, penggantungan itu bertujuan menjaga kepentingan pertubuhan dan mencegah PN daripada terus melanggar peraturannya, sambil menegaskan ia bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN.
PN pula berkata, ia tidak bersetuju dengan asas tindakan JPPM dan akan mengambil langkah undang-undang, selain tidak menolak kemungkinan wujud tekanan politik.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.