Lelaki rugi RM12.47 juta wang kripto dipindah tanpa pengetahuan

Seorang lelaki kerugian RM12.47 juta selepas aset mata wang kripto dipindahkan keluar daripada dompet digital miliknya tanpa pengetahuan atau kebenarannya.
Ketua Polis Perak, Alwi Zainal Abidin, mangsa berusia 38 tahun itu menyedari kejadian terbabit pada 1 tengah hari semalam ketika berada di Teluk Intan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati transaksi berkenaan membabitkan pemindahan aset mata wang kripto menerusi rangkaian blok.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pihak yang terbabit serta mengesan transaksi berkenaan dengan bantuan Unit Mata Wang Kripto, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Beliau turut menasihatkan orang ramai terutamanya pengguna mata wang kripto dan dompet digital, supaya sentiasa berwaspada terhadap cubaan ‘phishing’ atau pancingan data serta penipuan dalam talian.
“Pengguna juga diingatkan tidak menekan sebarang pautan mencurigakan atau mendedahkan frasa pemulihan, kunci peribadi serta kata laluan kepada mana-mana pihak.
“Semak rekod transaksi dan aplikasi yang dipautkan secara berkala serta mengasingkan dompet simpanan daripada dompet yang digunakan untuk transaksi harian,” katanya.
Menurutnya, individu yang mengesyaki akaun mereka dicerobohi hendaklah berhenti menggunakan peranti yang terjejas, menyimpan bukti digital, menghubungi penyedia platform melalui saluran rasmi dan membuat laporan polis.
“Orang ramai juga digesa memperkukuh langkah keselamatan digital bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah siber,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.