MTUC gesa gaji minimum RM3,100 dalam Belanjawan 2027

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa gaji minimum dinaikkan kepada RM3,100 di bawah Belanjawan 2027 kerana gaji semasa belum seiring peningkatan produktiviti dan keuntungan diraih syarikat.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu menerajui usaha menawarkan gaji lebih baik sebelum sektor swasta didesak berbuat demikian.
“Gaji adil mesti bermula dengan pengurusan GLC dan GLIC. Bukan hanya pengurusan tertinggi menikmati manfaat dan pekerja bawahan mendapat sisanya,” katanya dalam kenyataan.
Kamarul menyambut baik kritikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim terhadap syarikat besar masih menawarkan gaji rendah walaupun meraih keuntungan besar, sambil menegaskan pekerja membantu menjana keuntungan itu berhak mendapat gaji lebih adil.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata, Belanjawan 2027 akan merangkumi langkah meningkatkan tahap gaji pekerja sektor swasta sejajar peningkatan produktiviti.
Menteri kewangan itu berkata, pentadbirannya akan mencari jalan berunding dengan sektor swasta bagi menaikkan gaji selaras tahap produktiviti, bukannya mengugut menggunakan tindakan undang-undang.
Sejak Mei 2025, enam GLIC menetapkan gaji minimum RM3,100 untuk pekerja tetap sebagai sebahagian pelaksanaan dasar gaji kehidupan wajar. Ia termasuk Khazanah Nasional Bhd, Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji.
Tahun lalu, Anwar memberitahu Parlimen, 34 GLC dan GLIC telah melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar RM3,100.
Gaji minimum semasa ialah RM1,700 sebulan.
Anwar dilaporkan berkata, gaji minimum RM1,700 tidak patut dijadikan gaji permulaan bagi pekerja mahir atau graduan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.