PH N Sembilan tuntut BN, PN tarik balik tuduhan campur urusan adat, istana

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menuntut Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menarik balik dakwaan tidak berasas, termasuk tuduhan bahawa Istana Negeri Sembilan berada di bawah kawalan DAP, yang dibuat menjelang pilihan raya negeri.
Dalam satu kenyataan, PH Negeri Sembilan berkata dakwaan yang melibatkan institusi diraja, institusi adat dan kesucian Islam bukanlah perkara kecil
Katanya, pemimpin PH Negeri Sembilan turut dituduh mencampuri urusan adat dan Islam terancam ketika pentadbiran terdahulu.
“Tuduhan itu mempunyai kesan besar terhadap keyakinan rakyat, keharmonian masyarakat dan maruah pihak yang dituduh. Justeru, sebarang dakwaan sedemikian wajib disertakan bukti dan dipertanggungjawabkan.
“Sekiranya BN-PN mempunyai bukti terhadap dakwaan yang pernah dibuat, kemukakanlah secara terbuka. Jika tidak, adalah wajar tuduhan tersebut ditarik balik dan diperbetulkan.
“Tidak adil untuk membina persepsi buruk terhadap pihak lain ketika pilihan raya, kemudian membiarkan persepsi itu berterusan apabila pendirian yang dibawa mula berubah,” kata kenyataan itu.
PH Negeri Sembilan membuat tuntutan itu susulan keputusan Menteri Besar Ismail Lasim, menarik balik proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Kenyataan itu berkata ketika PH mentadbir Negeri Sembilan, gabungan tersebut sentiasa menghormati institusi diraja dan komited untuk memajukan pembangunan Islam, memperkukuh institusi pendidikan Islam serta memelihara keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“PH Negeri Sembilan tidak pernah menjadikan institusi diraja, adat dan agama Islam sebagai alat untuk meraih keuntungan politik.”
Semalam dilaporkan Ismail akan kekal sebagai menteri besar atas titah Tuanku Muhriz, susulan kontroversi berhubung surat peletakan jawatan yang didakwa tidak pernah diserahkan oleh Ismail.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.