Politik jual pahala


Seperti parti politik di mana-mana negara termasuklah Malaysia, mempunyai parti yang memperjuangkan berbagai ideologi. Dengan ideologi ini mereka mencari pengikut. Nasionalisme, sosialisme, sekularisme termasuklah membawa idealisme agama. Fahaman ini disebar kepada rakyat agar menyokong agenda mereka yang mereka percaya terbaik untuk semua.
Tetapi, dalam usaha mengekalkan sokongan, manipulasi tetap berlaku. Paling sedap guna agama. Alasan, dalil dan nas dipakai untuk mencari kelebihan ataupun menutup kelemahan sendiri. Pahala, dosa, syurga dan neraka dijadikan modal niaga untuk mengabsahkan tindakan mereka.
Seorang pemimpin politik sebuah parti agama dalam ceramahnya beberapa minggu lalu menjawab kritikan mengapa negeri yang ditadbir oleh mereka selama 36 tahun lambat maju dengan jawapan yang mudah. “Kita bukannya nabi.” Senang, kan?
Pasti penyokong mereka terpesona dan kagum dengan jawapan itu. Tiada yang benar melainkan benar belaka hujah itu. Betullah tu, kita bukan nabi, kata penyokong mereka. Kita tak sempurna. Tetapi, bila kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri lain yang ditadbir oleh musuh politik mereka lambat, dalam hal banjir di Selangor misalnya apa yang penyokong mereka tak hentam? Kenapa tak letak hujah pemimpin kamu itu kepada keadaan pihak lain?
“Benda bukan boleh selesai sehari dua, kita bukan nabi, kan?”
Terbaru, minggu lalu seorang lagi pemimpin parti itu dalam hantaran yang dibuatnya di Facebook menulis orang yang menderma untuk membantu bekas perdana menteri Najib Razak membayar denda RM50 juta boleh mendapat pahala. Beliau mengaitkan sumbangan itu dan segala bantuan berkaitan dengannya adalah usaha memudahkan urusan. Memudahkan urusan orang dapat pahala. Peh!
Kenyataan ini sangatlah menarik. Bukanlah sebab kita baru sahaja mengetahui bahawa menderma merupakan amalan yang baik dalam Islam. Sejak kecil kita sudah diajar begitu. Masukkan duit ke dalam tabung masjid, bantu anak yatim, beri makan orang miskin, semuanya amalan mulia. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah. Semua itu telah kita belajar.
Tetapi, apabila derma dikaitkan dengan seorang tokoh politik yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah, persoalannya menjadi sedikit berbeza. Adakah setiap amalan derma yang kita buat kepada semua pihak itu sama nilainya? Itu yang lebai-lebai politik harus ajar pengikutnya. Selain nilai dan jumlah, perlu dididik juga tujuan sesuatu sumbangan itu apakah ia benar-benar dituntut dalam agama. Apakah ia membantu permasalahan ummah? Apakah akan memberi kebaikan dan keberkatan kepada bangsa, agama dan negara? Dari segi keadilan sejagat, apakah tindakan ini sesuai?
Maaflah, saya tak boleh terima bab seorang ahli politik merasakan dia ada autoriti untuk menentukan seseorang itu boleh mendapat pahala atau dosa. Kalau tolong pihak mereka, dapat pahala. Kalau buat perkara yang sama untuk pihak lain, berdosa. Sewaktu bermusuh habis semua pihak bergelumang dosa. Bila berbaik, kutip dalil untuk menyucikannya. Jika tempat orang ditimpa banjir itu murka Allah, jika tempat mereka kena, itu ujian. Ini amat memalukan jika kita fikir dengan akal yang waras. Saya mahu bertanya, ke mana penyokong kamu hendak dibawa? Barangkali ada segelintir penyokong parti kamu yang berasa malu juga dengan kenyataan ini.
Soal dosa pahala ini bukan perkara yang sedap-sedap jadi bahan mainan. Dalam kehidupan beragama, pahala dan dosa merupakan antara asas yang membentuk pertimbangan manusia. Orang melakukan kebaikan dengan mengharapkan ganjaran tuhan, manakala menjauhi kejahatan kerana takut akan balasan-Nya. Tapi mengapa bagi kamu, pahala dibuat seperti mata ganjaran untuk tebus barang di kedai serbaneka. Kita jadi ahli kedai, dapat kad keahlian, kemudian jika ada tawaran promosi, kita pun beli barang. Daripada pembelian barang, kita dapat ‘point’ (pahala) yang boleh ditebus kemudiannya. Macam itu? Gila betul.
Begini, biar saya jelaskan. Dalam isu duit denda Najib, saya boleh faham jika ada penyokongnya yang bersungguh-sungguh mahu membantu beliau. Dalam politik, kesetiaan atau ketaasuban bukan sesuatu yang pelik. Semua parti ada penyokong fanatik. Mereka akan bermati-matian mempertahankan pemimpin mereka. Dan dalam isu Najib ini, ada juga yang bersimpati terhadapnya dan ada juga yang mengenang jasa ketika beliau berkuasa lalu mereka pun menderma. Itu hak mereka. Pemimpin parti lain, jika kalah saman pun akan ada penyokong mereka yang bantu buat kutipan dana.
Tetapi, mengusik sentimen penyokong dengan mempergunakan ganjaran pahala ini agak teruk, bagi saya jika kita fikir dalam-dalam. Apakah boleh kita guna ‘fatwa’ yang sama untuk kutip derma dan permudahkan urusan ratusan bekas banduan yang sudah bebas supaya urusan mereka dipermudahkan? Mereka terpaksa bergelut kesusahan dalam mendapat pekerjaan. Di mana seruan buat pahala kamu? Apakah manusia seperti mereka tak berguna di mata kamu? Bukankah mereka juga berhak kembali ke pangkuan masyarakat untuk menyumbang bakti dan tenaga? Kenapa berpilih-pilih? Di mana keadilannya kalau begitu?
Di luar sana, berapa ramai orang yang memerlukan bantuan untuk membayar kos rawatan, membeli keperluan sekolah anak atau menyelesaikan hutang akibat kesempitan hidup? Berapa ramai rakyat memerlukan air bersih di rumah? Apa usaha dan inisiatif kamu untuk memudahkan urusan mereka? Takkan kepada marhaen asyik dijual pahala dan syurga sahaja demi nak menutup kemalasan kamu berkhidmat? Jika kamu sebagai pentadbir negeri bekerja keras memberikan kemudahan urusan rakyat di bawah kamu, bukankah kamu juga akan mendapat pahala yang besar? Tapi kamu berhelah, ‘kita bukan nabi’. Ini sangat teruk!
Apabila seorang ahli politik memakai jubah dan kopiah bercakap tentang pahala, kenyataannya tentulah akan diterima oleh penyokong mereka. Apatah lagi seseorang ahli politik itu mempunyai latar belakang pendidikan agama atau berasal daripada keluarga ulama yang dihormati. Itu akan jadi lebih kuat.
Tetapi, ayuhlah berfikir secara realistik, kita memang tidak tahu apakah dapat pahala atau tidak jika seseorang itu menderma kepada Najib. Jika dapat pun kita tak tahu bagaimana bentuknya, besar mana atau apa rupanya. Itu bukan kita yang tentukan.
Pemimpin yang fatanah seharusnya lebih tahu memilih perkataan sesuai dalam menyampaikan maksudnya. Tetapi, dek kerana miskin kata-kata dan hujah, maka modal niaga paling sesuai ialah menjual agama dan meletakkan pahala di atas meja. Apakah ahli politik merasakan bahawa tuhan memberikan mereka kuasa juga dalam mengagih pahala?
“Kepada sesiapa yang hendak menderma kepada Najib, dibolehkan kerana itu hak anda. Bersimpati, menolong dan memudahkan urusan orang lain adalah amalan yang digalakkan.”
Hah! Saya rasa ayat sebegitu sudah cukup. Nampaklah bijak tanpa menanggalkan ciri ‘keustazannya’, kan?
Dalam sinis, saya tetap menganggap menjual pahala dan dosa dalam permainan politik adalah menghina kebijaksanaan rakyat. Kalau ahli politik pun boleh menentukan siapa dapat pahala, alamatnya selepas ini manifesto pilihan raya mungkin tidak lagi menjanjikan pembangunan, pekerjaan atau kos sara hidup yang lebih rendah. Cukuplah dengan janji pahala atau menggunakan alasan ‘kita bukan nabi’ seperti alasan seorang lagi pemimpin politik parti yang sama.
Malulah sikit. Kalau tak malu dengan tuhan, malulah sikit dengan segelintir penyokong parti kamu sendiri yang lebih bijak daripada kamu. Takkan kamu nampak mereka semua lekeh daripada kamu?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.