Jauhi 1 kuasa besar boleh jejas hubungan dengan negara lain, kata Hamzah

Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya menjauhkan diri daripada satu kuasa besar kerana tindakan itu boleh menjejaskan hubungan dengan negara lain juga, kata ketua pembangkang Hamzah Zainudin.
Presiden Parti Wawasan Negara berkata persaingan geopolitik menyebabkan kuasa besar semakin melihat kebergantungan ekonomi antara negara sebagai kelemahan strategik, sedangkan hubungan sedemikian masih penting kepada kemakmuran Malaysia.
“Bagi negara seperti Malaysia, harga yang perlu dibayar mungkin sangat tinggi. Kita tidak boleh begitu sahaja menjauhkan diri daripada satu kuasa besar tanpa menjejaskan hubungan dengan beberapa pihak lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas pada Lugano Global Forum di Switzerland.
Menurutnya, cabaran bagi Malaysia adalah melindungi kepentingan negara daripada risiko hubungan ekonomi antarabangsa tanpa mengorbankan manfaat perdagangan dan pelaburan yang diperolehi sejak sekian lama.
Hamzah berkata sejarah Asia Tenggara membuktikan rantau ini berkembang melalui hubungan perdagangan dengan pelbagai tamadun sejak berabad-abad lalu, termasuk China, India, Arab dan Eropah, dengan Selat Melaka menjadi laluan penting menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan.
Katanya, meskipun sejarah rantau ini turut dicorakkan penjajahan dan kehilangan kemerdekaan, pengalaman itu tidak bermakna Malaysia perlu memutuskan hubungan dengan bekas kuasa penjajah.
Beliau memberi contoh Jepun yang pernah menduduki negara ini ketika Perang Dunia Kedua, tetapi kemudiannya memainkan peranan penting dalam pembangunan negara melalui pelaburan, teknologi dan pembangunan industri.
Menurutnya, pendekatan itu mencerminkan dasar luar Malaysia yang berteraskan kemerdekaan, kedaulatan dan prinsip tidak campur tangan dalam urusan negara lain, sambil mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS), China, Rusia serta anggota Asean.
“Kita menghargai hubungan itu atas sebab berbeza. Kita tidak melihat keperluan untuk menjadikan persahabatan dengan satu pihak sebagai permusuhan terhadap pihak lain,” katanya.
Jelasnya, rantaian bekalan global saling berkait, dengan kilang yang menghasilkan barangan untuk pasaran AS mungkin bergantung pada komponen China, jentera Jepun dan teknologi Eropah.
“Apabila rantaian bekalan terganggu, kesannya bukan hanya kepada kilang. Pekerja kehilangan pendapatan, pembekal kehilangan pesanan, malah keluarga yang tidak tahu-menahu mengenai pertikaian itu turut menanggung kesannya.”
Bagaimanapun, Hamzah menegaskan Malaysia mengalu-alukan perdagangan dan kerjasama dengan kuasa besar, namun tidak mahu persaingan mereka dibawa masuk ke dalam institusi atau politik domestik negara.
Katanya, pendirian tidak memihak kepada mana-mana blok bukan bermakna Malaysia enggan mengambil pendirian apabila kedaulatan atau haknya di bawah undang-undang antarabangsa terancam.
“Keputusan itu mungkin membawa kesan ekonomi, tetapi kita mesti menentukannya sendiri, bukan membiarkan pihak di ibu negara lain membuat keputusan bagi pihak kita,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.