NUTP, pakar akademik cadang had umur guna AI generatif

Kesatuan guru dan pakar perkembangan kanak-kanak mencadangkan had umur bagi penggunaan kecerdasan buatan (AI) generatif di dalam bilik darjah.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, berkata pendidikan awal kanak-kanak perlu mengutamakan pembangunan kemahiran asas literasi, numerasi, komunikasi, kreativiti, penyelesaian masalah dan sosial.
Fouzi berkata apabila murid tidak mempunyai pemahaman kukuh mengenai konsep asas pada peringkat awal, ia akan menjadi semakin sukar untuk menangani jurang pembelajaran apabila mereka melangkah ke sekolah menengah.
“AI generatif tidak sepatutnya menjadi jalan pintas yang menggantikan proses pembelajaran asas ini,” kata Fouzi kepada FMT.

Fouzi mengulas keputusan New York untuk melarang sementara murid sekolah rendah dan menengah daripada menggunakan AI generatif di dalam bilik darjah serta sama ada Malaysia patut mengambil langkah yang sama.
Moratorium selama setahun di bandar itu mengehadkan penggunaan alat AI generatif yang berinteraksi secara langsung dengan murid sehingga Gred 8, bersamaan Tingkatan 2, manakala penggunaannya secara berpandu dibenarkan di peringkat sekolah menengah atas.
Fouzi berkata Malaysia wajar mempertimbangkan dasar itu sebagai rujukan praktikal dan tidak mengenakan larangan menyeluruh.
Beliau berkata pada akhirnya, persoalannya bukan sama ada sekolah di Malaysia patut menggunakan AI, tetapi bagaimana untuk memastikannya memperkukuh pembelajaran tanpa menjejaskan hubungan antara guru dengan murid atau menghalang perkembangan pemikiran berdikari.
Lihanna Borhan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang berpandangan sama berkata kanak-kanak, khususnya mereka yang berusia bawah sembilan tahun, perlu membangunkan kemahiran menyelesaikan masalah sendiri sebelum menggunakan AI generatif sebagai alat.

Beliau turut memberi amaran supaya tidak terlalu bergantung pada chatbot, sambil menunjukkan bahawa model AI lazimnya dibangunkan berdasarkan norma Barat dan mungkin tidak mempunyai konteks budaya yang diperlukan oleh kanak-kanak Malaysia.
“Chatbot hanya berguna berdasarkan input yang diberikan,” kata Lihanna, yang merupakan pensyarah psikologi perkembangan.
“Jadi, kanak-kanak mungkin tidak menerima input yang diperlukan untuk menjadi rakyat Malaysia yang mempunyai kecekapan budaya,” katanya sambil menegaskan bahawa alat digital tidak seharusnya menggantikan interaksi manusia secara bersemuka.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.