BUDI95: B40, M40 terima manfaat lebih besar, kata menteri

Golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) menikmati manfaat lebih besar daripada pelaksanaan inisiatif BUDI95, berbanding golongan berpendapatan tinggi (T20), kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, dapatan itu berdasarkan data penggunaan semasa yang menunjukkan corak pembelian petrol bersubsidi mengikut kumpulan pendapatan, sekali gus membolehkan kerajaan menilai agihan manfaat inisiatif berkenaan.
“Sebenarnya, sekarang saya ada data yang sempurna… kerana tiap-tiap orang yang pakai subsidi, dia guna IC (MyKad) di stesen minyak dan kita ada rekod untuk setiap pembelian yang ada dalam negara ini.
“Jadi data semasa kami menunjukkan bahawa pengedaran antara B40, M40, T20, (subsidi minyak) banyak memberi manfaat kepada M40 dengan B40,” katanya menurut Bernama.
Amir Hamzah berkata, dapatan itu berbeza daripada tanggapan umum bahawa golongan T20 menggunakan lebih banyak bahan api berbanding B40 dan M40, khususnya disebabkan pemilikan kenderaan lebih besar dengan kapasiti enjin lebih tinggi.
Beliau berkata, jarak perjalanan harian juga merupakan antara faktor mempengaruhi penggunaan petrol, termasuk bagi golongan berpendapatan rendah yang tinggal jauh dari tempat kerja.
“Saya pakai andaian. Kalau saya B40, saya kerja di KL (Kuala Lumpur), saya tak duduk (tinggal) di Kenny Hills, saya tak duduk Taman Duta. Saya duduk Rawang, saya duduk Seremban. Jauh pulak. Jadi perjalanan saya akan menggunakan banyak bahan api,” katanya.
Ketika ini katanya, kerajaan sedang memperhalusi angka daripada data berkenaan dan dijangka memberikan penerangan lanjut dalam tempoh dua bulan akan datang.
Amir Hamzah berkata, penjelasan itu penting bagi memperbetul persepsi masyarakat berhubung corak penggunaan serta pengagihan manfaat inisiatif BUDI95 mengikut kumpulan pendapatan.
Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia mula menikmati manfaat inisiatif BUDI95 yang telah dilaksanakan pada 30 Sept lepas.
Inisiatif itu menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter sebelum ini, dengan setiap individu diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.