Kudrat manusia di sebalik dentingan jam Bangunan Sultan Abdul Samad

Jam di Bangunan Sultan Abdul Samad setia mencatat waktu sejak mula berdetik 129 tahun lalu.
Barangkali masyarakat pun mengharapkan jam di bangunan terbina pada 1897 itu terus berdetik, walaupun bukan sebagai perakam waktu, sebaliknya sebagai saksi sejarah yang setia.
Tiga individu menyambung usaha penjaga sebelum ini dalam memastikan jam mekanikal itu terus berdetik. Hanya sekali jam ini terhenti, iaitu ketika serangan udara tentera Jepun pada 1941.
Muhammad Kamalrul Azman, L Kumarasamy, dan Rosdihisham Hassan menggalas amanah diberikan kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dalam memastikan jam terus berdetik — memeriksa, membersihkan, mengengkol dan melincirkannya sepanjang tahun.
“Setiap petang lepas waktu pejabat, kita datang setiap hari untuk buat penguncian jam dan memastikan masanya tepat,” katanya kepada FMT.
Dalam ruang menara yang sempit dan panas, tiga rakan itu bergilir menggerakkan pemberat gergasi yang memastikan jam buatan Gillett & Johnston ini berdetik.
Menurut Kamarul, proses itu memerlukan kesabaran kerana engkol tidak boleh dipusing terlalu laju bagi mengelakkan sistem takal dan puli terganggu.

“Sebab itu kita gunakan tenaga badan kita sendiri,” katanya.
Seusai pemeriksaan, mereka tetap perlu tunggu sedia sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan. Pernah suatu malam mereka menerima panggilan memaklumkan jam tiba-tiba berhenti.
“Bila sampai rumah, pihak bangunan telefon kata jam berhenti. Jadi, kita terpaksa datang balik tengah malam untuk periksa,” katanya.
Kudrat manusia di sebalik Merdeka
Segala susah payah ini seakan terbayar di ambang Merdeka, apabila terdengar sorakan rakyat ketika loceng berdenting pada detik 12 tengah malam.
Menuju detik itu, Kamalrul, Kumarasamy dan Rosdihisham berkampung di dalam menara bagi memastikan jam bergerak tepat.
“Pukul 12 tengah malam itu memang kita rasa gementar. Bila dengar orang di luar mengira detik, kita dekat dalam rasa bangga,” katanya.
Pengarah Khidmat Pengurusan Jupem, Fauzi Mohamad Hanafiah, berkata komitmen para penjaga jam ini wajar diberikan penghargaan.
Beliau berkata Kamalrul, Kumarasamy dan Rosdihisham menjaga jam setiap hari selepas waktu pejabat, termasuk pada cuti umum.
Untuk tugasan ini, mereka menerima bayaran kerja lebih masa biasa, katanya. Fauzi berharap elaun khas dapat dipertimbangkan bagi menghargai komitmen penjaga jam.
“Tak kira hari raya, Deepavali atau Tahun Baharu Cina, mereka kena ada di sini setiap hari,” katanya.
Mewarisi amanah
Bagi Kamarul, minat terhadap jam ikonik itu tercetus apabila beliau diperkenalkan oleh seorang senior kepada tugas yang tidak pernah disangka menjadi sebahagian daripada kerjayanya.
Melihat sendiri bagaimana mekanisme jam berusia lebih seabad itu berfungsi membuatkannya terpikat dan terdorong untuk mendalami selok-beloknya.
“Bila kita tengok semua pergerakan gear dan mesin jam itu, kita rasa sangat teruja untuk mengetahui lebih dalam. Itu yang membuatkan kita kekal sampai hari ini.
Kamarul mendedahkan, mereka belajar menyelenggara jam itu berdasarkan pengalaman dan tunjuk ajar penjaga terdahulu.
“Tak ada buku manual. Kita hanya belajar sendiri bagaimana gear saat, gear minit dan gear jam itu berfungsi,” katanya.
Kamarul juga mendedahkan betapa penting usaha memelihara jam ini.
“Kalau ada komponen rosak, alat gantinya perlu ditempah khas mengikut spesifikasi asal kerana tidak lagi dijual di pasaran.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.