Macron panggil mesyuarat krisis ketika protes sekolah merebak

Presiden Perancis, Emmanuel Macron memanggil mesyuarat krisis pada Selasa malam bagi membincangkan kekacauan terkini susulan protes semakin meluas berhubung keadaan sekolah di Perancis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik laporan media.
Perdana Menteri Sebastien Lecornu, Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez dan Menteri Pendidikan Edouard Geffray dijangka menghadiri mesyuarat itu, menurut penyiar BFMTV serta akhbar Le Monde dan Le Parisien.
Macron setakat ini tidak terlibat dalam tindak balas kerajaan terhadap protes sekolah yang bermula seminggu lepas.
Semasa protes di seluruh negara pada Selasa, demonstrasi diadakan di Paris dan beberapa bandar utama lain. Menurut Kementerian Dalam Negeri, seramai 256,000 orang menyertai protes itu.
Di Paris saja, kira-kira 56,000 orang dianggarkan menyertai perarakan protes, manakala kesatuan pendidikan menganggarkan jumlah peserta di seluruh negara seramai 450,000 orang.
Buat julung kalinya, kesatuan itu menyertai protes pelajar yang menuntut sekolah dilengkapi kemudahan lebih baik serta persekitaran pembelajaran kondusif. Guru dan ibu bapa turut menyertai protes berkenaan.
Kerajaan bimbang protes pelajar yang ada kalanya bertukar ganas boleh merebak ke kelompok masyarakat lain, didorong harga bahan api tinggi dan kenaikan kos sara hidup.
Gerakan protes “Yellow Vest” yang tercetus akibat kebimbangan sama menyebabkan Perancis berada dalam keadaan huru-hara untuk tempoh panjang pada 2019.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.