Sasaran 50% respons kes kecemasan dalam 15 minit belum dicapai, kata Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum dapat mencapai sasaran 50% kes kecemasan yang mengancam nyawa menerima respons dalam tempoh kurang 15 minit.
Katanya, pada 2025 hanya 34.1% kes kecemasan yang mengancam nyawa menerima respons dalam tempoh kurang 15 minit dan mengakui usaha untuk mencapai sasaran itu amat mencabar.
“Bagi 2025, pencapaian keseluruhan nasional bagi kes Priority 1 (kes kecemasan yang mengancam nyawa) hanya 34.1%, di bawah sasaran 50% yang kami tetapkan.
“Saya bersama ketua pengarah kesihatan menilai perkara ini kerana petunjuk prestasi utama (KPI) belum dapat kita penuhi dan ia sangat mencabar,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang meminta penjelasan mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan tempoh respons petugas kesihatan dalam membantu mangsa kemalangan.
Jalaluddin turut mendakwa terdapat kes kemalangan yang mangsanya tidak menerima bantuan kecemasan sehingga hampir satu jam, walaupun lokasi kejadian terletak dalam lingkungan 500m dari klinik kesihatan.
Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, KKM sedang mengambil beberapa pendekatan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan mencapai sasaran berkenaan.
Antara langkah itu ialah memperkukuh penyelarasan sistem kecemasan 999, meningkatkan kapasiti ambulans serta memperkasakan perkhidmatan respons kecemasan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.