Loke tunai janji tapi belum cukup pulih sokongan DAP, kata penganalisis

Peletakan jawatan Loke Siew Fook sebagai menteri pengangkutan berpotensi mengembalikan keyakinan penyokong teras DAP yang sebelum ini mempersoalkan pendirian parti itu dalam kerajaan perpaduan, kata penganalisis.
Bagaimanapun, mereka berpandangan tindakan itu belum cukup memulihkan sepenuhnya sokongan terhadap DAP, terutama menjelang PRN Melaka Sabtu ini, selepas parti itu berdepan prestasi kurang memberangsangkan dalam beberapa PRN sebelum ini.
Tawfik Yaakub dan Liew Wui Chern senada walaupun peletakan jawatan itu tepat dari segi isyarat politik, tetapi agak lewat untuk menghapuskan ketidakpuasan yang telah merebak dalam kalangan penyokong parti.
“Tidak dapat dinafikan selain meredakan keresahan, tindakan Loke juga berpotensi mengembalikan keyakinan penyokong terasnya yang selama ini melihat DAP sekadar ‘pengikut’ dalam kerajaan.

“…tetapi agak terlewat ketika prestasi DAP semakin merosot selepas PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan,” kata Tawfik daripada Universiti Malaya kepada FMT.
“Tetapi bagi saya, biar terlewat, jangan tiada langsung tindakan drastik yang dilakukan oleh Loke dan DAP,” katanya.

Liew daripada Universiti Tunku Abdul Rahman berkata: “Tindakan itu tepat dari segi prinsip politik tetapi agak lewat untuk memadam semua ketidakpuasan yang telah terkumpul.”
Ini kerana, beliau berkata ketidakpuasan terhadap DAP bukan hanya berkaitan isu tahanan rumah Najib Razak, tetapi turut melibatkan reformasi, prestasi kerajaan dan kerjasama dengan Umno.
“Jadi, satu peletakan jawatan mungkin boleh membantu meredakan keadaan, tetapi belum tentu cukup untuk memulihkan sepenuhnya keyakinan penyokong,” katanya.
Loke yang juga setiausaha agung DAP kelmarin mengesahkan peletakan jawatannya sebagai menteri susulan perintah baharu Mahkamah Tinggi yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah.
Tawfik berkata, tindakan itu juga dapat mengurangkan tekanan politik terhadap Loke, terutama selepas kekalahannya di DUN Chennah pada PRN Negeri Sembilan.
Menurutnya, jika Loke terus kekal dalam Kabinet, beliau dan DAP berisiko berdepan serangan politik lebih kuat kerana dilihat tidak berpegang pada pendirian untuk meletakkan jawatan.

Lau Zhe Wei daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) lebih skeptikal terhadap kesan peletakan jawatan berkenaan kerana hanya seorang pemimpin DAP berundur daripada Kabinet, dengan tindakan itu ditangguhkan sehingga Najib mula menjalani tahanan rumah.
Beliau berpandangan, langkah itu mungkin tidak membawa kesan besar terhadap persepsi pengundi, lebih-lebih lagi selepas perubahan corak sokongan dalam beberapa PRN sebelum ini.
“PRN Sabah telah membuktikan bahawa selagi ada alternatif, mereka sudi beralih,” katanya merujuk kepada kecenderungan sebahagian pengundi Cina mengalihkan sokongan daripada Pakatan Harapan (PH).
Loke sebelum ini mengumumkan hasrat meletakkan jawatan selepas keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib, namun bersetuju meneruskan tugas buat sementara waktu atas permintaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Seremban itu pada Jumaat lalu menegaskan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa sebaik Najib memulakan tahanan rumah, sekali gus menjadikan keputusan mahkamah kelmarin sebagai titik pelaksanaan janji itu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.