KKM semak semula kontrak Perkhidmatan Doktor Udara, penggunaan helikopter

Kementerian Kesihatan (KKM) akan menilai semula semua kontrak berkaitan Perkhidmatan Doktor Udara (PDU), termasuk penggunaan helikopter susulan nahas di Long Lellang, Sarawak yang meragut lima nyawa Selasa lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Mahathar Abd Wahab, berkata penilaian itu selaras arahan Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad selepas nahas mengorbankan empat kakitangan KKM dan seorang juruterbang.
“Sebagaimana kita sebutkan dalam sidang media dikeluarkan menteri (kesihatan), kita akan menilai semula semua kontrak terkait dengannya,” katanya menurut Berita Harian selepas merasmikan Persidangan Trauma Malaysia 2026 di George Town.
Beliau berkata, bayaran elaun RM30 untuk petugas PDU bagi setiap perjalanan juga akan dinilai semula dalam semakan itu.
Mengulas dakwaan helikopter terbabit nahas di Long lellang itu sudah lama digunakan, katanya, perkara itu di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang sedang menjalankan siasatan.
Khidmat rawatan pesakit di pedalaman
Dzulkefly berkata, penggunaan aset empat agensi penguatkuasaan bagi mengendalikan penerbangan ihsan untuk meneruskan khidmat rawatan kesihatan pesakit di pedalaman antara alternatif dilaksanakan KKM, selepas operasi PDU ditangguhkan sementara susulan nahas helikopter di Long Lellang.
Empat agensi itu adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
“Sejurus dapat siasatan yang mantap serta tuntas, kita dapat tentukan langkah-langkah untuk memperkukuhkan hal-hal yang terkait dengan keselamatan,” katanya menurut Berita Harian sambil menambah KKM akan terus melakukan penelitian lebih rapi dan memperbaiki PDU.
Nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram pada Selasa lalu mengorbankan pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, dua jururawat Jessie Paya Jok dan Debra Moset serta juruterbang Zainol Afiq Bee Sham.
Jenazah lima mangsa diserahkan kepada keluarga pagi tadi di Hospital Miri selepas identiti disahkan melalui analisis DNA, dengan KKM menyelaras urusan penghantaran jenazah ke lokasi pengebumian.
Menurut laporan Bernama, Dzulkefly mengimamkan solat jenazah Allahyarham Ainul di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa, pada 1.37 tengah hari tadi.
Bapa Allahyarham, Kamarudin Salleh, berkata pihak keluarga memberi kebenaran kepada Dzulkefly untuk mengimamkan solat jenazah anaknya sebagai tanda penghormatan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.