The Jerusalem PostTrump dismisses report China entities helped Iran before attack that killed US troopsESPNWeek 1 winners and losers: Caleb Williams, Josh Allen shine; Ja'Marr Chase disappointsDaily MaverickTrump says he is removing U.S. tariffs on Irish whiskeyESPN DeportesWilliams vuelve a aparecer para Dallas y el partido entra en ebulliciónוואלהאינדונזיה: 129 בני אדם עדיין נעדרים לאחר שספינת נוסעים התהפכהEl ComercioSinuano EN VIVO hoy: Números ganadores del domingo 13 de septiembreNew Straits Times#HEALTH: Less water, more kidney stonesMintDelhi on IMD's alert as city braces for rainy season's last few wet spells — monsoon to withdraw soonThe Japan TimesGroup lending cars for free to disaster victims struggles to meet demandRapplerLIVE UPDATES: First BARMM parliamentary electionsSoompiStray Kids’ Han Makes Meaningful Birthday DonationWirtualna PolskaKorea Północna pręży muskuły. Reżim pochwalił się pociskami
The Daily Newsstand · Free, Always
Monday, September 14, 2026

Empat kongres berlalu, politik Malaysia masih cari arah

Translate

Empat perhimpunan parti utama — DAP, PKR, PAS dan Umno — telah pun berlalu. Dalam tempoh singkat, rakyat berpeluang mendengar bagaimana keempat-empat parti ini melihat diri sendiri, menilai lawan, mempertahankan pencapaian dan menyusun langkah menuju PRU16. Masing-masing meyakinkan rakyat bahawa merekalah yang paling kuat, paling relevan dan paling layak dipercayai.

Namun, selepas empat pentas besar itu, dua persoalan tetap kabur. Pertama, dengan siapa sebenarnya mereka mahu memerintah selepas ini. Kedua, dan ini yang lebih penting apakah gagasan bersama yang ingin ditawarkan untuk membawa Malaysia ke hadapan. Tiada satu pun yang benar-benar berani mengunci pilihan gabungannya. Masing-masing menjaga ruang, membaca kemungkinan dan mengelak daripada menutup pintu terlalu awal.

Inilah dalam sains politik disebut politik memburu jawatan (office-seeking) — parti menyusun kedudukan demi gabungan yang menang, bukan demi dasar yang hendak dilaksanakan. Ia bukan fenomena baharu kerana setiap parti memang berusaha menempatkan diri dalam kedudukan terbaik untuk kuasa. Tetapi, apabila pilihan gabungan dibiarkan terus terbuka, negara kekal dalam politik pencarian — mencari siapa boleh bersama siapa, siapa semakin kuat, dan gabungan mana paling berpeluang menguasai Putrajaya. Perbualan pun mudah kembali kepada soal siapa, sedangkan soal yang lebih besar iaitu apa yang mahu dibina semakin terpinggir.

Empat parti, empat pencarian

DAP berdepan persoalan bagaimana mengekalkan kedudukannya dalam kerajaan perpaduan tanpa kehilangan identiti dan harapan penyokong. Keputusan untuk kekal sehingga tamat penggal menjawab kedudukannya hari ini, tetapi belum menjawab bentuk kerjasama yang ditawarkan selepas PRU16.

PKR berada dalam kedudukan berbeza. Parti yang lahir daripada gerakan reformasi kini menjadi teras kerajaan. Ketika di luar kuasa, reformasi ialah tuntutan; setelah memegang kuasa, reformasi mesti diterjemahkan menjadi prestasi. PKR juga perlu memikirkan bentuk gabungan yang mampu mengekalkan kedudukannya selepas ini.

PAS semakin jelas mahu mengukuhkan diri sebagai paksi politik Melayu-Islam. Persoalannya, adakah kekuatan itu akan diterjemah melalui Perikatan Nasional (PN) seperti sekarang, kerjasama yang lebih luas, atau konfigurasi baharu selepas pilihan raya?

Umno barangkali paling menarik dibaca. Di pentas parti, nadanya lebih tegas tentang kekuatan dan masa depan sendiri, termasuk Agenda Malaysia Biru dan kemungkinan kerjasama yang lebih luas. Pada masa sama, ia menegaskan komitmen bersama kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal. Nada di pentas parti dan di pentas kerajaan mungkin kelihatan bercanggah. Tetapi, di situ terletak satu kebenaran penting tentang politik gabungan bahawa rakan dalam pemerintahan tidak semestinya berhenti menjadi pesaing dalam politik. Itu bukan tanda ketidakstabilan, itu sifat asas demokrasi yang berkongsi kuasa.

Lawan, rakan, pesaing dan satu pengajaran

Sejak 2018, hampir semua parti utama sudah merasai menjadi kerajaan dan pembangkang. Lebih daripada itu, parti yang pernah bertembung keras juga pernah bekerjasama. Umno dan PAS pernah seiring dalam Muafakat Nasional. Bersatu dan PAS bersama dalam PN. Umno, PKR dan DAP yang berpuluh tahun bertentangan kini duduk semeja dalam kerajaan perpaduan.

Dalam politik memang sering disebut tiada kawan atau musuh kekal, hanya kepentingan yang kekal. Tetapi, selepas hampir lapan tahun politik yang begitu dinamik, Malaysia sepatutnya sudah cukup matang untuk menentukan kepentingan mana yang benar-benar mahu dikekalkan antara kepentingan parti, atau kepentingan negara? Setiap parti pasti menjawab: kepentingan negara. Namun, terlalu kerap jawapan itu hanya tinggal di bibir dan di pentas kongres, dalam pelaksanaan, yang lazim berlaku sebaliknya.

Bersaing tanpa menggagalkan pemerintahan

Namun, pengalaman hampir lapan tahun yang sama sepatutnya turut mematangkan cara kita memahami politik gabungan. Politik gabungan bukan politik tanpa persaingan, tetapi ia keupayaan mengurus persaingan tanpa menggagalkan pemerintahan. Parti dalam kerajaan yang sama tidak perlu kehilangan identiti atau berhenti bersaing merebut sokongan.

Di sinilah dua model layak direnung. Jerman menunjukkan gabungan yang dipandu dasar: sebelum membentuk kerajaan, parti-parti berunding dan menerbitkan kontrak gabungan — program dasar yang dipersetujui dan boleh dinilai rakyat. Indonesia pula memperlihatkan gabungan lebih cair, sehingga bekas pesaing boleh berkumpul dalam satu pemerintahan, tetapi selalunya atas kira-kira kuasa lebih daripada gagasan. Dua model, dua hujung. Soalannya, Malaysia mahu condong ke arah mana?

Rakyat kini mempunyai rekod untuk dibandingkan

Pengalaman sejak 2018 bukan sahaja mendidik parti. Ia memberi rakyat sesuatu yang sangat berharga, iaitu rekod untuk dibandingkan. Hampir semua pemain utama kini boleh dinilai, di mana rakyat pernah melihat mereka sebagai kerajaan dan pembangkang, pernah mendengar apa yang dijanjikan di luar kuasa dan melihat apa yang dilakukan setelah berkuasa.

Maka menjelang PRU16, penilaian rakyat sepatutnya mampu bergerak melampaui politik identiti semata-mata. Persoalannya bukan lagi sekadar parti mana paling dekat dengan kaum, agama atau sentimen kita, tetapi gabungan mana yang mempunyai keupayaan, pasukan, kestabilan dan gagasan paling meyakinkan untuk menerajui Malaysia. Politik identiti dan politik prestasi kini perlu dilengkapi politik penilaian di mana rakyat boleh menghakimi berdasarkan rekod, bukan sekadar sentimen. Tetapi untuk rakyat menilai dengan baik, parti perlu menawarkan pilihan lebih jelas.

Membentuk kerajaan atau membina negara?

Di sinilah empat kongres tadi meninggalkan persoalan terbesar. Setiap parti cukup jelas memberitahu siapa mereka dan mengapa mereka layak disokong. Yang masih kabur ialah dengan siapa mereka mahu memerintah selepas PRU16 dan lebih penting, untuk apa. Adakah gabungan hanya akan ditentukan selepas pilihan raya, berdasarkan matematik kerusi? Atau rakyat akan diberi gambaran lebih awal tentang persetujuan besar mengenai ekonomi, pendidikan, reformasi institusi, hubungan masyarakat, produktiviti, teknologi, peralihan demografi dan kedudukan Malaysia dalam dunia yang semakin mencabar? Perbezaannya besar. Gabungan atas matematik kuasa boleh membentuk kerajaan. Gabungan atas gagasan bersama boleh membina negara.

Di sini, politik kita masih terasa sempit. Kita semakin cekap mengira kerusi, tetapi kurang berbicara tentang generasi. Semakin mahir membaca sentimen pengundi, tetapi kurang membina konsensus tentang arah negara. Semakin rancak membahas formula gabungan, tetapi jarang membahas formula Malaysia untuk 20 atau 30 tahun akan datang. Politik memburu kedudukan hanya melihat pilihan raya berikutnya. Politik membina negara mesti berani melihat satu generasi ke hadapan. Kedua-duanya tidak bercanggah kerana parti memang perlu menang untuk melaksanakan gagasannya. Tetapi, urutannya mesti betul di mana kuasa ialah alat untuk membina negara, bukan pembinaan negara sekadar alasan untuk merebut kuasa.

Rumusannya, selepas empat kongres, kita semakin jelas tentang bagaimana setiap parti mahu menjadi. Yang masih kabur ialah dengan siapa mereka mahu memerintah dan yang jauh lebih penting, Malaysia yang bagaimana mahu mereka bina bersama. Mungkin, selepas segala yang dilalui sejak 2018, sudah tiba masanya politik Malaysia beralih daripada soalan “siapa bersama siapa?” kepada soalan lebih matang iaitu “untuk apa mahu bersama?” Kerana apabila kita mula daripada jawapannya, politik kita akan lebih matang dengan negara lebih berani menangani isu yang benar-benar kritikal secara konstruktif, tidak lagi terperangkap dalam kerenah persengketaan sesama parti yang semakin parah dan mengalih perhatian daripada agenda membina bangsa dan negara.

Penulis ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.