Semak insentif, MMA ulas doktor tak lapor diri di Malaysia Timur

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menuntut kerajaan menyemak semula insentif dan mengembalikan bayaran insentif wilayah (BIW) berasaskan peratusan bagi doktor ditempatkan di Malaysia Timur.
Seruan itu dibuat susulan laporan 70% hingga 76% pegawai perubatan ditugaskan bagi penempatan tetap di Sabah dan Sarawak gagal melapor diri, pada 28 Sept.
Presiden MMA Dr L Sivanaesan, berkata sistem pembayaran kadar tetap BIW pada masa ini telah mengurangkan nilai insentif bagi mereka yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya menyemak semula kadar bantuan perpindahan bagi doktor ditugaskan ke sana, sambil menambah bantuan tersebut patut diberikan sebelum mereka berpindah, bukannya berbulan kemudian menerusi proses tuntutan.
“MMA juga menggesa pengenalan elaun perkhidmatan khusus Malaysia Timur untuk pegawai perubatan, selain insentif tambahan seperti bantuan perumahan, sokongan pengangkutan, dan bonus pengekalan.
“Harus ada juga kepastian mengenai tempoh penempatan di Malaysia Timur. Doktor yang keutamaan jangka panjang mereka adalah untuk berkhidmat di Semenanjung patut diberikan tempoh perkhidmatan jelas di Sabah atau Sarawak, bersama laluan yang telus untuk pertukaran semula selepas selesai tempoh berkenaan.
“Mengetahui dari awal berapa lama mereka dijangka berkhidmat mungkin dapat menggalakkan lebih ramai doktor menerima penempatan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Sivanaesan turut menyeru penambaikan syarat perkhidmatan dan kemudahan tempat tinggal, selain ganjaran berupa kemajuan kerjaya yang bermakna bagi mereka berkhidmat di kawasan kurang liputan.
Katanya, perkara terbabit boleh dilakukan mengambil kira perkhidmatan di luar bandar bagi tujuan latihan pascasiswazah, laluan pakar, kenaikan pangkat serta penempatan pilihan pada masa hadapan.
“Penempatan wajib dan arahan pentadbiran semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah ini. Doktor memerlukan sebab meyakinkan untuk pergi – dan sebab meyakinkan untuk kekal.”
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.