PN tak akan meterai CSA, kata Takiyuddin

Perikatan Nasional (PN) tidak akan memeterai perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) untuk mendapatkan peruntukan, seperti dilakukan enam Ahli Parlimen Bersatu, kata Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata tindakan diketuai Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin itu juga telah mengetepikan PN selaku parti gabungan dan blok pembangkang.
Katanya, ia juga adalah pilihan individu Ahli Parlimen terbabit dan tidak mewakili pendirian atau keputusan rasmi PN.
“CSA itu adalah pilihan mereka sendiri sebagai Ahli Parlimen.
“Kebetulan, ahli Parlimen yang menyertai CSA ini adalah daripada kumpulan yang tidak bersama secara aktif dalam PN, iaitu kumpulan Bersatu sendiri, kumpulan bekas Bersatu yang dahulu melompat parti dan juga Muda.
“Jadi, PN tidak terlibat dalam perundingan dan pemeteraian itu. Kami tidak terlibat,” katanya, menurut Utusan Malaysia.
Khamis lalu, enam Ahli Parlimen Bersatu memeterai CSA dengan kerajaan, antara lain menetapkan dua reformasi utama perlu dilaksanakan Putrajaya sebagai timbal balas kepada sokongan mereka.
Enam wakil rakyat itu mahu kerajaan memastikan tempoh jawatan perdana menteri dihadkan serta peranan peguam negara dan pendakwa raya sebelum berakhir penggal pentadbiran semasa.
Sebagai balasan, enam ahli Parlimen terlibat akan menyokong Belanjawan 2027.
Mengenai PRN Melaka, Takiyuddin berkata Perlembagaan PN membenarkan parti komponen menggunakan logo masing-masing tetapi dengan kebenaran gabungan.
Namun katanya, penggunaan logo Bersatu setakat ini tidak dimaklumkan secara rasmi kepada PN dan tidak mendapat kebenaran gabungan berkenaan.
“Dalam Perlembagaan PN, setiap parti anggota boleh menggunakan logo sendiri dengan kebenaran daripada PN.
“Tetapi, Bersatu setakat ini penggunaan logo mereka sendiri tidak dimaklumkan secara rasmi kepada PN. Jadi, tanpa kebenaranlah,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.