Dual 5G kukuh daya tahan rantaian bekalan Malaysia, kata pemimpin industri

Model dua rangkaian 5G Malaysia boleh mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan dengan memberi pengilang lebih banyak pilihan teknologi, kata seorang pemimpin industri.
Presiden Persatuan Rantaian Bekalan Mampan dan Inovasi Malaysia (Massci), Lorela Chia, berkata syarikat sering bergantung pada vendor teknologi, perisian, sistem data dan platform industri tertentu yang mungkin lebih sesuai dengan rangkaian berbeza.
“Persekitaran dengan dua rangkaian memberi industri sesuatu yang amat bernilai, iaitu lebih banyak pilihan,” katanya kepada FMT.
Malaysia mempunyai dua rangkaian 5G berasingan. Rangkaian Digital Nasional Berhad (DNB) menggunakan peralatan Ericsson, manakala rangkaian U Mobile menggunakan teknologi Huawei dan ZTE.

Menurut Chia, kilang lazimnya menggabungkan mesin lama, sistem automasi baharu, platform awan dan peralatan daripada pelbagai pembekal.
Katanya, sesetengah teknologi mungkin berfungsi lebih baik pada rangkaian tertentu, justeru kewujudan dua rangkaian memberi pengilang lebih banyak pilihan untuk menghubungkan sistem sedia ada.
“Pilihan itu juga membolehkan syarikat menukar pembekal, menaik taraf operasi atau menangani gangguan tanpa perlu membina semula keseluruhan sistem pengeluaran.
“Lebih fleksibel rangkaian di Malaysia dalam menampung teknologi berbeza, lebih mudah bagi syarikat mengintegrasi dan menaik taraf sistem serta mengelakkan kebergantungan kepada satu teknologi,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu penting bagi pembekal kecil yang mungkin tidak mampu menggantikan peralatan sedia ada hanya untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baharu.
“Bagi mereka, bertukar teknologi tidak sepatutnya bermakna melupuskan peralatan yang masih berfungsi atau bermula semula dari awal.”
Chia berkata, kewujudan dua rangkaian membantu rantaian bekalan menghadapi gangguan, manakala pilihan teknologi membolehkan operasi disesuaikan semula dengan lebih pantas.
“Dua rangkaian membantu rantaian bekalan menyerap gangguan. Pilihan teknologi pula menentukan seberapa pantas operasi dapat disesuaikan semula.”
Katanya, manfaat model dua rangkaian 5G melangkaui peluasan liputan semata-mata.
“Liputan menyediakan platform. Pilihan teknologi memberi industri lebih banyak cara untuk menyelesaikan masalah pengeluaran sebenar.”
Industri mahukan 5G yang menyelesaikan masalah
Chia berkata, fasa seterusnya pelaksanaan 5G perlu menumpukan penyelesaian masalah sebenar perniagaan, termasuk kebolehpercayaan rangkaian, keserasian sistem dan keselamatan siber.
Ini termasuk keupayaan mengintegrasikan rangkaian 5G awam dan persendirian, sambungan gentian optik serta pengkomputeran pinggir (edge computing).
Katanya, industri ketika ini memerlukan sambungan yang stabil dan selamat bagi membolehkan pengilang memantau serta mengawal operasi dengan lebih baik.
Ini merangkumi usaha menghubungkan mesin, memindahkan data pengeluaran dengan lancar, memantau peralatan dari jauh dan mengintegrasikan sistem di lantai kilang dengan sistem teknologi maklumat pejabat.
Teknologi 5G juga boleh menyokong sistem penglihatan mesin serta membantu memperkukuh keselamatan siber di seluruh operasi.
“Industri tidak menggunakan rangkaian semata-mata untuk mendapatkan sambungan. Mereka mahukan operasi tanpa gangguan, pemantauan dan kawalan lebih baik serta keupayaan membuat keputusan dengan lebih pantas,” katanya.
Beliau berkata, permintaan terhadap 5G akan meningkat apabila teknologi itu terbukti memberikan manfaat operasi atau komersial, selain membantu syarikat kekal berdaya saing dan terhubung dalam rantaian bekalan yang lebih luas.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.