PRN Melaka: Jika terus digantung, PN mungkin guna logo PAS

Parti komponen Perikatan Nasional (PN) boleh memilih untuk bertanding menggunakan lambang PAS pada PRN Melaka, jika gabungan itu masih digantung Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), kata Takiyuddin Hassan.
Setiausaha Agung PN dan PAS itu berkata, partinya tiada halangan jika parti lain menggunakan logonya, tetapi Bersatu secara khusus diminta bertanding menggunakan lambang sendiri.
Tetapi, jelasnya, soal penggunaan logo bukan isu besar di Melaka, sebaliknya pihaknya akan melihat kepentingan berdasarkan keadaan semasa.
“Jadi, tidak semestinya parti-parti itu (parti dalam PN) menggunakan logo sendiri. Mereka boleh menggunakan logo mana-mana parti yang menunjukkan mereka ini bersatu bersama.
“Jadi, apa salahnya kalau ada satu dalam kalangan gabungan parti ini, iaitu PAS ke, parti lain juga menggunakan logo berkenaan. Tidak menjadi kesalahan dari sudut undang-undang.
“Ini antara pilihan yang kita ada sekiranya PN masih digantung,” katanya menurut Harian Metro selepas Program Karnival Cakna Rakyat Bunut Payong di Kota Bharu.
Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat 7 Okt ini untuk menetapkan tarikh penting bagi PRN Melaka susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Rabu lalu.
Pada hari sama DUN Melaka dibubarkan, JPPM menggantung PN susulan aduan dikemukakan Bersatu. Gabungan itu diberikan 30 hari untuk mengemukakan penjelasan berhubung aduan berkenaan.
PAS yang menerajui PN melalui Naib Presidennya, Ahmad Samsuri Mokhtar, ialah komponen paling dominan dalam gabungan itu dengan memiliki 43 kerusi Parlimen dan 146 kerusi DUN.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.