Pendedahan SOP tahanan rumah akan perjelas ketidakpastian, kata peguam

Pendedahan SOP berkaitan pelaksanaan tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak akan menjelaskan ketidakpastian dan menjadi panduan bagi pengendalian kes seumpamanya pada masa depan, kata peguam.
Naran Singh berkata, pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib menimbulkan beberapa persoalan, termasuk sama ada bekas perdana menteri itu dibenarkan menggunakan gajet, mendapat akses internet atau menerima pelawat.
Turut timbul persoalan sama ada beliau dibenarkan mengekalkan khidmat pengawal peribadi atau pembantu rumah memandangkan kediaman yang didiaminya kini dianggap sebagai penjara.
“Kita tidak akan tahu melainkan SOP itu didedahkan kepada umum,” katanya kepada FMT.
Naran berkata, jika kediaman Najib di Langgak Duta dianggap sebagai penjara, ‘beliau sepatutnya tinggal di situ seorang diri’.
Peguam kanan Kitson Foong berkata, pendedahan SOP kepada umum merupakan ‘langkah yang sangat strategik dan melindungi kepentingan’ semua pihak, khususnya institusi yang terlibat.
Beliau mencadangkan supaya prosedur itu dimuktamadkan sebagai perundangan subsidiari dan diwartakan, sekali gus memberikan kekuatan undang-undang kepada peraturan berkenaan, selain memberi manfaat kepada kerajaan dan Jabatan Peguam Negara.
Katanya, pihak berkuasa tidak lagi perlu berdepan tuduhan memberikan pengecualian istimewa kerana mereka mempunyai kerangka objektif dan seragam untuk dijadikan panduan.
Foong berkata, pendedahan SOP itu tidak akan menjejaskan privasi Najib kerana orang ramai tidak perlu mengetahui jadual hariannya, aturan keselamatan kediaman atau senarai pelawatnya.
Zaid Malek berkata, ia juga boleh membantu membendung spekulasi mengenai tahanan rumah Najib.
“Jika anda tidak mahu orang ramai membuat spekulasi, orang ramai perlu diberikan maklumat. Adakah beliau benar-benar seorang banduan atau sekadar tinggal di rumah sendiri tetapi tidak dibenarkan keluar?
“SOP itu juga akan menjelaskan sama ada beliau diberikan keistimewaan yang tidak dinikmati banduan lain. Buat masa ini, kita hanya boleh membuat spekulasi,” katanya.
Beliau berkata, pendedahan itu tepat pada masanya ketika kerajaan sedang menuju ke arah meluluskan rang undang-undang kebebasan maklumat.
Najib kembali ke kediamannya di Kuala Lumpur pada Selasa untuk menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International menerusi tahanan rumah.
Beliau dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pada Januari 2024, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengurangkan separuh hukuman penjara Najib serta menurunkan dendanya kepada RM50 juta menerusi pengampunan diraja.
Pada September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberikan Najib pengampunan bersyarat tambahan, yang membolehkannya menjalani baki hukuman dalam kes SRC International menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 selepas menjelaskan denda RM50 juta.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dijangka menjelaskan isu berkaitan tahanan rumah itu, termasuk syarat dan sekatannya, di Dewan Rakyat hari ini.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.