Umno terer kutip RM50 juta


Saya angkat songkok kepada Umno sambil ucap tahniah dan syabas kerana berjaya kutip RM50 juta dengan cepat dan pantas bagi membolehkan bekas presiden Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Kita tentu masih ingat Umno mula pungut wang September lalu. Semalam RM50 juta sudah dapat dikumpulkan. Kurang tiga bulan. Satu pencapaian menakjubkan.
Itu sebab saya kata Umno terer. Power. Orang lain terkial-kial cari dana untuk capai sasaran jauh yang lebih kurang daripada jumlah yang Umno kumpulkan dengan mudah. Misalnya, ada banyak NGO bertungkus-lumus cari sumbangan orang ramai dan syarikat untuk umpamanya membiayai pembedahan jantung kanak-kanak. Media juga diminta membantu untuk menghebahkan usaha mereka supaya matlamat tercapai. Usaha itu mungkin membuahkan hasil tetapi ada kala mengambil masa berbulan-bulan atau lebih lama.
Tetapi Umno dapat pungut RM50 juta bagai sekelip mata, menyebabkan saya angkat songkok dengan penuh rasa kagum. Saya cadang NGO minta pertolongan Umno lain kali mahu cari dana untuk biaya rawatan pesakit yang tidak berkemampuan, atau belajar daripada Umno rahsia memungut wang dengan pantas.
To put things in context, kita imbau kembali. Najib dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan atas kesalahan menyalahguna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International. Beliau dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pun begitu pada Januari 2024, Yang di-Pertuan Agong ketika itu Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengurangkan separuh hukuman itu dan menurunkan jumlah denda kepada RM50 juta menerusi pengampunan diraja. Pada September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberikan Najib pengampunan bersyarat yang membolehkan dia menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Tetapi tahanan di rumah hanya boleh dilaksanakan jika Najib bayar denda RM50 juta serta pematuhan syarat-syarat lain yang ditetapkan. Syarat-syarat itu membabitkan urusan pemenjaraan. Yang paling utama ialah Najib mesti bayar RM50 juta, barulah boleh nikmati tahanan di rumah, di kediaman yang terletak di kawasan elit di ibu negara.
Berikutan itu, Umno lancar Tabung Solidariti Najib Razak pada 18 September lalu, tujuannya untuk kumpul RM50 juta. Menurut Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki, setakat Ogos lalu, Wanita Umno ada 1,412,052 ahli. Pemuda Umno ada 418,062 ahli. Puteri Umno pula 226,076 ahli. Jadi jumlah keseluruhan ahli Umno ialah 3,251,456 orang.
Saya tidak tahu sama ada si setiausaha agung Umno ada ambil kira jumlah ahli yang tinggalkan parti. Lazimnya orang yang keluar parti akan angkat kaki begitu sahaja. Mereka tidak akan maklumkan kepada ibu pejabat Umno. Saya merujuk kepada ahli biasa yang tak terkenal.
Tidak usah pertikai jumlah ahli Umno yang diumumkan si setiausaha agung parti. Take it as it is, ertinya ada 3 juta lebih ahli. Senang cerita genapkan kepada 4 juta ahli Umno maka jika setiap ahli sumbang RM1 untuk tabung Najib, dapat kumpul RM4 juta sahaja. Bagaimanapun takkanlah mereka sumbang RM1 sahaja — mungkin ada yang sumbang RM50, RM100 atau RM1,000. Tentu ada yang beri lebih daripada itu.
Teringat saya laporan media 21 September lalu yang memetik isteri Najib, Rosmah Mansor, menzahirkan rasa terharu kerana rakan-rakan dari Singapura, Brunei, Itali dan Kanada menghulur sumbangan untuk bantu Najib. Mungkin jumlah yang dinyatakan Rosmah itu disalurkan kepada tabung anjuran Umno.
Sememangnya RM50 juta itu satu jumlah besar. Semalam Asyraf dengan bangga dan gembira mengumumkan partinya sudah berjaya kumpul dana mencukupi menerusi kempen sumbangan untuk Najib, dan Umno sudah menjelaskan denda RM50 juta untuk Najib.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli dan orang ramai atas sumbangan mereka,” kata Asyraf menerusi kenyataan.
Muncul bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua menggesa pihak berkuasa mengaudit sumbangan yang dikutip. Kata beliau, audit oleh Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia penting bagi memastikan dana yang dikumpulkan diperolehi secara sah dan bukan hasil pengubahan wang haram. Saya setuju.
Dalam pada itu, Pua berpendapat adalah lebih elok jika wang yang Umno kumpul digunakan untuk bantu rakyat biasa. Memang betul tetapi jelas Umno has its own priorities.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.