The Daily Newsstand · Free, Always
Sunday, October 4, 2026

Hasrat ‘YB Hulk’ kembali ke Pengkalan Batu mungkin tidak kesampaian

Translate

Hasrat ‘YB Hulk’ Norhizam Hassan Baktee untuk kembali bertanding di Pengkalan Batu mungkin tidak kesampaian apabila kerusi itu difahamkan tidak termasuk dalam senarai Bersatu pada PRN Melaka.

Ketua Penerangan Bersatu Melaka Hishamuddin Abdul Karim berkata parti juga belum memuktamadkan calon dan kerusi yang akan ditandingi pada pilihan raya itu.

“Bersatu belum memuktamadkan keputusan berkaitan PRN Melaka, termasuk soal calon dan kerusi.

“Saya difahamkan kerusi Pengkalan Batu tiada dalam senarai Bersatu,” katanya kepada FMT.

Hishamuddin turut berkata kenyataan Norhizam mengenai hasratnya untuk kembali bertanding mungkin pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian parti.

Media semalam melaporkan Norhizam berhasrat kembali bertanding pada PRN Melaka dan masih mahu berkhidmat di Pengkalan Batu kerana mendakwa penduduk kawasan itu memerlukan khidmatnya.

Bekas Adun Pengkalan Batu itu, yang kini naib ketua Bersatu Hang Tuah Jaya, turut mendakwa namanya sudah disenaraikan sebagai calon PRN, namun kerusi bakal ditandinginya masih belum dimuktamadkan.

Norhizam sebelum ini timbalan pengerusi DAP Melaka dan pernah memegang jawatan exco pertanian, pembangunan usahawan dan industri asas tani negeri.

Beliau mula mewakili DUN Pengkalan Batu pada PRU14 sebelum tewas semasa PRN Melaka berlangsung lima tahun lalu. Ketika itu Norhizam bertanding atas tiket bebas selepas dipecat DAP.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau sendiri akan bertanding pada PRN kali ini, Hishamuddin menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti untuk menentukan calon dan kerusi, termasuk bagi DUN Telok Mas.

Beliau berkata sekiranya Bersatu memutuskan untuk bertanding di Telok Mas, Biro Politik Bahagian akan mencadangkan calon yang sesuai untuk dipertimbangkan parti.

“Sebagai seorang party man, saya menghormati keputusan presiden dan parti. Saya tidak melihat bertanding dalam pilihan raya sebagai agenda peribadi.

“Jangan terlalu mengejar jawatan atau menjadi calon. Survival dan kemenangan parti jauh lebih utama,” kata Hishamuddin yang juga pengarah Bilik Gerakan Utama Bersatu Melaka.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.