Perdagangan dengan blok BRICS lonjak 20%, kata Lukanisman

Keanggotaan Malaysia dalam BRICS membuahkan hasil apabila jumlah perdagangan dengan blok ekonomi itu melonjak 20% kepada RM481.02 bilion bagi separuh pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Luar, Lukanisman Awang Sauni, berkata peningkatan signifikan berbanding RM400.73 bilion bagi tempoh sama 2025 itu dipacu lonjakan nilai eksport dan import yang masing-masing mencatat pertumbuhan dua digit.
Menurutnya, nilai eksport negara ke blok BRICS meningkat 17.4% kepada RM181.4 bilion, manakala nilai import turut meningkat 21.7% kepada RM299.62 bilion.
“China, Indonesia dan India kekal rakan dagang terbesar Malaysia dalam BRICS yang menyumbang kira-kira 90% daripada jumlah keseluruhan perdagangan,” katanya di Dewan Rakyat.
Jelasnya, perdagangan dengan BRICS mencecah RM846.5 bilion tahun lalu, meningkat 3.4% berbanding RM818.04 bilion pada 2024, yang menyumbang 27.7% kepada perdagangan global negara.
Beliau menjawab soalan Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai matlamat dan nilai tambah berbanding perjanjian sedia ada, serta pasaran dan sektor keutamaan Malaysia dalam kerangka BRICS.
BRICS ditubuhkan pada 2009 oleh Brazil, Rusia, India dan China, dengan Afrika Selatan menyertainya pada 2010. Blok itu kemudian berkembang untuk merangkumi Iran, Mesir, Ethiopia serta Emiriah Arab Bersatu.
Pada Oktober 2024, Malaysia bersama 12 negara lain, termasuk Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam secara rasmi menyertai BRICS sebagai negara rakan baharu.
Lukanisman berkata, BRICS memberi nilai tambah signifikan serta saling melengkapi perjanjian perdagangan bebas (FTA).
Antara faedah utama termasuk membuka akses pasaran baharu di negara belum mempunyai FTA dengan Malaysia.
“Kerjasama ini turut menggalakkan penggunaan mata wang tempatan seperti pengukuhan ringgit-renminbi dan sistem pembayaran rentas sempadan lebih cekap, sekali gus mengurangkan kos transaksi dan risiko turun naik kadar pertukaran USD.
“Ia juga menyediakan platform untuk menangani isu praktikal perdagangan seperti fasiliti perdagangan, kesalinghubungan logistik, pendigitalan serta daya tahan rantaian bekalan.”
Katanya, langkah itu sejajar aspirasi Kerangka Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara untuk memfokuskan eksport barangan elektrik, semikonduktor, minyak sawit serta kewangan Islam.
Mengenai kebimbangan perbezaan geopolitik BRICS boleh menjejaskan kepusatan Asean, Lukanisman turut memberi jaminan Malaysia akan terus berpegang kepada dasar luar berkecuali dan berprinsip.
“Malaysia sentiasa berpendirian sebagai middle country atau tidak menyebelahi mana-mana pihak. Bagi isu serantau seperti Laut China Selatan, kita ada mekanisme tersendiri menerusi saluran bilateral.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.