Agong berkenan kurnia darjah kebesaran kepada presiden Mesir

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara kepada Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi yang kini dalam lawatan negara dua hari ke Malaysia.
El-Sisi dianugerahkan darjah kebesaran itu di Istana Negara dalam istiadat khas di Dewan Seri Maharaja sebelum Majlis Jamuan Negara sempena meraikan pemimpin Mesir itu yang tiba di negara ini semalam.
Turut hadir, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Menteri Pertahanan Khaled Nordin, Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani serta tetamu kehormat dan delegasi Mesir.
Terdahulu, El-Sisi diberikan sambutan negara di Dataran Kawad Istana Negara sejurus tiba pada 10.08 pagi.
Lawatan El-Sisi, atas undangan Sultan Ibrahim, merupakan kunjungan pertama presiden Mesir ke Malaysia setelah hampir tiga dekad selepas kunjungan terakhir pada November 1997 oleh Hosni Mubarak ketika menghadiri Sidang Kemuncak G-15 di Kuala Lumpur dan lawatan rasmi sebagai naib presiden Mesir pada 1979.
Malaysia dan Mesir telah menjalin hubungan diplomatik sejak 1959.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.