Pengunduran PH tidak dijangka, tak diminta, kata Rauf

Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh berkata keputusan Pakatan Harapan (PH) menarik diri daripada pentadbiran negeri Julai lalu tidak dijangka atau dimintanya, selepas hampir tiga tahun bekerjasama dalam kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN Melaka itu berkata, beliau memberi ruang kepada wakil PH menyertai pentadbiran negeri tanpa sebarang prasangka sejak dilantik sebagai ketua menteri pada Mac 2023.
“Sepanjang tempoh saya menjalankan urusan kerajaan, dasar dibuat tanpa prasangka.
“Tetapi mereka mengambil keputusan meletakkan jawatan daripada Kabinet, sesuatu yang tidak kita duga dan tidak kita minta perkara itu berlaku,” katanya dalam temu bual FMT.
Bagaimanapun, Rauf menegaskan pengunduran wakil PH tidak menjejaskan keupayaan pentadbirannya meneruskan khidmat kepada rakyat.
“Tanpa mereka, kita masih boleh meneruskan perkhidmatan kepada rakyat.”
Lima Adun PH Melaka menarik diri daripada pentadbiran negeri pada 16 Julai lalu susulan kelulusan pindaan Perlembagaan Negeri Melaka berkaitan pelantikan Adun lantikan.
Lima Adun terbabit ialah Adly Zahari (Bukit Katil), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chau Yen (Banda Hilir).
Susulan itu, Allex melepaskan jawatan exco pembangunan usahawan, koperasi dan hal ehwal pengguna, Kerk sebagai timbalan speaker, manakala Low dan Leng meletakkan jawatan timbalan exco.
Pencapaian besar apabila masalah rakyat diselesaikan
Mengulas pencapaian sepanjang menerajui Melaka, Rauf berkata kejayaan paling bermakna baginya bukan semata-mata pelaksanaan projek besar, tetapi apabila masalah dihadapi rakyat dapat diselesaikan.
Beliau berkata, pendekatan itu dilaksanakan menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), yang membolehkan kerajaan negeri mengenal pasti dan menangani masalah penduduk di setiap kawasan DUN.
Katanya, aduan penduduk dikumpulkan dua bulan sebelum program berlangsung menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN Melaka (Japerun), sebelum disahkan penghulu dan pejabat daerah untuk tindakan wakil rakyat serta exco berkaitan.
Antara masalah diberi perhatian ialah jalan kampung belum diturap, ketiadaan lampu jalan dan kawasan perkuburan yang gelap, selain bantuan lampin pakai buang serta susu kepada pesakit terlantar.
Rauf berkata, pendekatan sama turut digunakan bagi menangani masalah sekolah, membantu kegiatan pertanian serta memenuhi keperluan nelayan dan penternak kecil.
“Jangan tanya saya apa pencapaian besar. Pencapaian besar ialah apabila rakyat dapat merasai kehadiran kita dalam menyelesaikan masalah mereka.
“Itulah kejayaan yang saya amat berpuas hati dan tersentuh, apabila rakyat yang memerlukan perhatian dapat menyelesaikan masalah mereka,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.