Belanjawan 2027 NS berisiko tergendala tanpa exco, kata ketua DAP negeri

Ketiadaan barisan exco di Negeri Sembilan boleh menyebabkan Belanjawan 2027 negeri itu tergendala, kata Ketua DAP Negeri Sembilan J Arul Kumar.
Arul yang juga Adun Nilai berkata kebimbangan utama adalah bagaimana proses belanjawan akan diteruskan apabila tiba peringkat penting yang memerlukan kelulusan exco.
“Bagaimana belanjawan hendak diluluskan dan dibawa ke DUN jika tiada mesyuarat exco?
“Jika tiada belanjawan yang diluluskan, bagaimana kerajaan negeri hendak membayar gaji, bil utiliti dan perbelanjaan lain?” soal Arul, yang menganggotai exco negeri dari 2018 hingga 2026.
Negeri Sembilan tidak mempunyai barisan exco sejak 20 Sept lalu selepas kesemua 10 anggotanya dilucutkan jawatan kerana melanggar sumpah jawatan.
Pemecatan itu dibuat susulan kenyataan mereka lima hari sebelumnya yang menyokong satu pengisytiharan untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar.
Arul berkata Menteri Besar Ismail Lasim tidak boleh begitu sahaja mengambil alih peranan exco dalam meluluskan belanjawan negeri atau perkara lain, kecuali dalam keadaan darurat.
Negeri Sembilan meluluskan Belanjawan 2026 berjumlah RM640 juta pada 5 Dis tahun lalu, termasuk RM150 juta yang diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.
Menurut Arul, persediaan belanjawan tahunan biasanya bermula pada Mei atau Jun tahun sebelumnya apabila jabatan kerajaan negeri mengemukakan anggaran perbelanjaan masing-masing.
Menjelang September, proses itu lazimnya melibatkan perbincangan antara menteri besar, anggota exco dan ketua jabatan.
“Biasanya ada permukiman exco untuk membincangkan inisiatif yang mahu diperkenalkan pada tahun berikutnya,” katanya.
Bagaimanapun, tiada permukiman seperti itu diadakan tahun ini.
Arul berkata walaupun jabatan kerajaan masih boleh menyediakan anggaran perbelanjaan masing-masing, belanjawan akhir tetap perlu dipertimbang dan mendapat persetujuan exco.
Katanya, proses itu sama seperti di peringkat persekutuan apabila Jemaah Menteri meneliti belanjawan sebelum ia dibentangkan di Parlimen.
“Exco perlu bersetuju dengan belanjawan itu. Menteri besar kemudian membentangkannya di Dewan Undangan Negeri dan usul itu disokong seorang anggota exco.
“DUN kemudian membuat keputusan mengenai perbelanjaan tersebut,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.