DAP akan terkesan keputusan pengampunan Najib, kata KJ

Pengampunan bersyarat bekas perdana menteri, Najib Razak akan memberi kesan kepada kerajaan Pakatan Harapan, khasnya DAP, kata bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, DAP sebelum ini menyatakan pembebasan Najib merupakan “garisan merah” bagi parti itu.
“Tetapi, DAP pun ada get-out clause juga. Mereka boleh kata ‘kami telah memberikan pandangan kami, tetapi akhirnya keputusan terletak pada Yang di-Pertuan Agong’. Mereka boleh cakap keputusan itu tiada kaitan dengan mereka,” katanya dalam episod terbaharu audio siar “Keluar Sekejap” malam tadi.
Semalam, Najib diberikan pengampunan bersyarat dalam kes SRC International, yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun sehingga 23 Ogos 2028 di bawah tahanan rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Najib, 73, sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas Lembaga Pengampunan pada Februari 2024 mengurangkan separuh daripada hukuman asalnya selama 12 tahun dan denda RM210 juta kepada RM50 juta.
Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP akan bermesyuarat hari ini bagi membincang dan memutuskan pendirian serta tindakan susulan parti itu berikutan pengampunan bersyarat Najib.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, parti itu konsisten sejak awal lagi dalam menuntut keadilan dan akauntabiliti berhubung skandal 1MDB. SRC International ialah bekas anak syarikat 1MDB.
Loke turut berkata, Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh telah menyampaikan pendirian yang selaras prinsip parti ketika menjalankan tanggungjawabnya sebagai ahli Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Minggu lalu, Bendahari DAP Kuala Lumpur, Ben Fong, menggesa ahli parti dalam Jemaah Menteri melepaskan jawatan jika Najib diberikan pengampunan kerana kedudukan DAP dalam kerajaan akan menjadi “tidak wajar dikekalkan” jika bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibebaskan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.