InquirerDepEd-8 distributes 10,534 MacBooks in Eastern VisayasPunchNew FRSC boss vows crackdown on reckless drivingCNN TürkTrump'tan İsrail çıkışı! "Başbakan olabilirim"The Jerusalem PostNew crop of Democrats coming to US Senate to challenge Schumer한겨레산 할아버지, 구름모자 썼네…‘올해의 기상 사진’ 후보들ZDF heuteAktuelle Pressemitteilungen des ZDFSRF NewsSoftware-Riese Microsoft – Stundenlanger Ausfall beeinträchtigt Outlook und Teams中国新闻网南方大范围降雨持续部分地区有暴雨 明起两股冷空气接连来袭Collider7 Modern Western Shows That Are 10/10 MasterpiecesDeadline‘Today’ Co-Host Savannah Guthrie Extends NBC News ContractESPN DeportesEN VIVO: Sin LeBron, 76ers buscan volver al triunfoRadio-CanadaCarney rencontre des dirigeants européens en Irlande, avant des sommets en Asie
The Daily Newsstand · Free, Always
Friday, November 13, 2026

PRU awal: Selamatkan negara atau ahli politik?

Translate

Malaysia sekali lagi diperdengarkan dengan cadangan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal, seolah-olah PRU ubat mujarab yang mampu menyelesaikan segala masalah politik dan ekonomi negara.

Namun, sebelum kita ghairah membincangkan PRU16, ada persoalan lebih penting yang perlu dijawab. Siapa sebenarnya yang akan mendapat manfaat daripada pilihan raya awal? Rakyat, negara, parti politik atau individu yang semakin tidak sabar mahu berkuasa?

Jangan sampai Parlimen dibubarkan bukan kerana negara kehilangan arah, tetapi kerana ada ahli politik yang hilang kesabaran menunggu giliran menjadi perdana menteri.

PRU15 membuktikan tiada gabungan politik memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Akhirnya, kerajaan dibentuk melalui rundingan antara gabungan yang sebelum itu saling bermusuhan.

Persoalannya, apakah yang sudah berubah sehingga kita begitu yakin pilihan raya awal mampu menghasilkan kerajaan lebih stabil?

Hakikatnya, landskap politik negara masih berpecah dan kemungkinan Parlimen tergantung tetap wujud. Jika keadaan itu berulang, kita mungkin sekali lagi menyaksikan rundingan sulit, tawar-menawar jawatan dan pembentukan kerjasama politik yang sebelum ini dianggap mustahil.

Semalam musuh yang wajib dijatuhkan, esok sahabat yang perlu dipertahankan. Inilah tragedi politik Malaysia apabila prinsip seolah-olah mempunyai tarikh luput, sedangkan kepentingan politik mampu bertahan lebih lama.

Saya tidak menolak kerajaan gabungan kerana ia sebahagian daripada proses demokrasi. Namun, perpaduan yang hanya muncul selepas pilihan raya, ketika kerusi dan jawatan perlu dibahagikan, bukanlah perpaduan yang meyakinkan.

Perpaduan nasional sepatutnya berasaskan prinsip dan matlamat bersama, bukannya sekadar perkongsian kepentingan politik yang diberikan nama lebih indah.

Persoalan seterusnya, apakah penyelesaian sebenar yang ditawarkan oleh pihak yang mendesak pilihan raya awal?

Adakah pertukaran kerajaan semata-mata mampu menurunkan harga barang, meningkatkan pendapatan rakyat, mengurangkan hutang negara atau menyediakan lebih banyak pekerjaan berkualiti?

Setakat ini, saya belum melihat mana-mana blok politik tampil dengan formula menyeluruh yang benar-benar meyakinkan untuk menangani masalah struktur ekonomi dan pentadbiran negara.

Sebaliknya, yang sering kedengaran ialah retorik perubahan, serangan politik dan slogan perpaduan yang berubah mengikut kedudukan serta kepentingan masing-masing.

Malaysia tidak kekurangan ahli politik yang bercita-cita menjadi perdana menteri. Apa yang lebih diperlukan ialah pemimpin yang sanggup meletakkan kepentingan negara mengatasi cita-cita peribadi.

Implikasi ekonomi akibat pilihan raya awal juga tidak boleh dipandang ringan.

Malaysia sedang melaksanakan Rancangan Malaysia Ketiga Belas, di samping agenda peralihan tenaga, pembangunan industri semikonduktor, ekonomi digital dan reformasi fiskal.

Semua usaha ini memerlukan kesinambungan dasar, kestabilan pentadbiran dan keyakinan pelabur untuk menghasilkan manfaat jangka panjang kepada negara.

Pelabur tidak semestinya takut kepada pertukaran kerajaan. Apa yang lebih membimbangkan mereka ialah ketidaktentuan dasar serta komitmen yang tidak ditunaikan.

Mereka datang untuk membina kilang dan mengembangkan perniagaan, bukannya menyaksikan drama politik yang seolah-olah tidak pernah berakhir.

Pengalaman antara 2020 hingga 2022 sepatutnya menjadi pengajaran apabila Malaysia menyaksikan tiga perdana menteri dalam tempoh tersebut.

Terlalu banyak masa dan tenaga dihabiskan untuk menentukan siapa yang patut berkuasa, sedangkan perhatian seharusnya diberikan kepada bagaimana kuasa itu digunakan untuk membangunkan negara dan memperbaiki kehidupan rakyat.

Bagaimanapun, kestabilan politik tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan terus berada dalam zon selesa.

Kerajaan mesti membuktikan prestasi, melaksanakan reformasi yang dijanjikan dan memastikan dasar yang diperkenalkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Begitu juga pembangkang. Mengkritik kelemahan kerajaan memang mudah, tetapi mengemukakan penyelesaian lebih baik merupakan ujian sebenar terhadap kemampuan dan kelayakan mereka untuk memerintah.

Kelemahan kerajaan tidak secara automatik membuktikan kehebatan pembangkang. Pada masa sama, kelemahan pembangkang bukan lesen untuk kerajaan terus gagal menunaikan tanggungjawabnya.

Saya tidak menolak pilihan raya awal sekiranya kerajaan kehilangan majoriti atau benar-benar gagal mentadbir negara.

Namun, selagi kerajaan masih berfungsi dan mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen, apakah alasan mendesak untuk membubarkan Parlimen sebelum tamat penggal?

Pilihan raya memerlukan perbelanjaan awam yang besar. Rakyat tidak sepatutnya menanggung kos eksperimen politik semata-mata untuk memenuhi cita-cita segelintir individu.

Bayangkan jika PRU16 diadakan lebih awal, tetapi keputusannya sekali lagi menghasilkan Parlimen tergantung, pemimpin yang sama dan perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.

Apakah sebenarnya yang berubah? Mungkin hanya tarikh pilihan raya dan susunan gabungan politik, sedangkan masalah rakyat masih belum diselesaikan.

Justeru, biarkan kerajaan menyempurnakan mandatnya selagi masih mempunyai keupayaan dan sokongan untuk mentadbir. Apabila tiba masanya, rakyat boleh menilai pencapaian kerajaan dan menentukan sama ada ia wajar diberi mandat baharu atau digantikan.

Pilihan raya sepatutnya menjadi jalan keluar daripada krisis politik, bukannya membuka ruang kepada krisis baharu yang akhirnya merugikan negara.

Kerajaan boleh bertukar dan perdana menteri boleh berganti. Namun, masa yang terbuang, peluang pelaburan yang terlepas dan masa depan rakyat yang terjejas tidak semudah itu dapat dikembalikan.

Negara ini bukan papan catur ahli politik. Rakyat pula bukan buah catur yang boleh dikorbankan setiap kali seseorang mahu menjadi raja.

Jika pilihan raya awal hanya bertujuan menyelamatkan kerjaya politik individu tertentu, sedangkan rakyat terus menanggung kerugian, itu bukan usaha menyelamatkan negara.

Ia sekadar pertukaran siapa yang menikmati kuasa dan siapa yang terpaksa membayar harganya.

Penulis ialah penganalisis di Global Asia Consulting.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.