Kritik kerajaan, jangan serang Anwar, PKR, Hassan beritahu ‘geng 4’

Ahli Parlimen PKR Hassan Karim menggesa empat bekas Ahli Parlimen yang meninggalkan parti itu supaya menghentikan serangan peribadi berterusan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan PKR.
Katanya, tindakan itu bukan membantu mereka, sebaliknya berpotensi memberi keuntungan kepada pesaing politik seperti Umno dan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Pasir Gudang selama dua penggal itu, yang menggelarkan mereka sebagai ‘geng empat’, berkata mereka silap jika beranggapan serangan berterusan terhadap Anwar dan PKR akan menarik sokongan kepada Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada PRU16.
“Silakan kritik kerajaan dan dasar yang kamu tidak puas hati, seperti sering saya lakukan. Tetapi terus memperlekeh Anwar dan PKR tidak akan membantu Bersama berkembang,” katanya dalam temu bual dengan FMT.

Hassan berkata serangan sedemikian mungkin memberi kesan besar kepada PKR, tetapi tidak semestinya memberi manfaat kepada Bersama.
“Umno dan PN yang akan mendapat keuntungan daripada luahan emosi seperti ini. Pemimpin-pemimpin ini tidak akan berada di kedudukan mereka hari ini jika bukan kerana PKR,” katanya.
“Geng empat” yang dimaksudkannya ialah Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad, Wong Chen dan Lee Chean Chung yang kini menjadi antara pemimpin utama Bersama.
Hassan yang mengumumkan tidak akan bertanding semula pada PRU16 berkata mereka perlu menghargai jasa parti dan tidak memusnahkan PKR yang membantu membina kerjaya politik masing-masing.
Beliau mengimbas ketika Rafizi, yang kini menjadi salah seorang peneraju Bersama, menjadi ketua PKR Johor, pemimpin itu beberapa kali menegurnya kerana terlalu berterus terang mengenai isu yang menurutnya perlu diberi perhatian.
“Rafizi meminta saya supaya tidak terlalu lantang kerana mereka mempunyai tanggungjawab untuk melindungi Anwar. Whip Parlimen kerajaan perpaduan juga meminta beliau menasihati saya supaya tidak terlalu keras dalam kritikan.
“Saya menerima nasihat itu dengan hati terbuka dan mengelakkan kritikan bersifat peribadi,” katanya.
Bukan parti keluarga
Hassan turut menolak dakwaan bahawa PKR adalah ‘parti keluarga Anwar’.
“PKR adalah parti utama dalam kerajaan perpaduan yang sedang memacu negara ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata Anwar pada satu ketika turut mendapat bantuan besar daripada Rafizi yang disifatkannya bukan sahaja bijak, malah seorang ahli strategi yang hebat.
“Ya, pemilihan parti tahun lalu sedikit sebanyak menjejaskan PKR apabila anak Anwar, Nurul Izzah, menewaskan Rafizi bagi jawatan timbalan presiden. Saya tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir, tetapi Rafizi sepatutnya menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
“Beliau sepatutnya terus bertahan kerana ada antara kami yang mahu beliau bertanding jawatan presiden pada pemilihan akan datang, dengan Nurul Izzah kekal sebagai timbalannya. Gabungan ini mungkin kuat dan diterima rakyat,” katanya.
Menurut Hassan, keadaan itu boleh memastikan Pakatan Harapan (PH) menjadi lebih kukuh dan peralihan kepimpinan berjalan lancar, dengan Rafizi bersedia mengambil alih daripada Anwar yang tidak mungkin kekal sebagai pemimpin selama-lamanya.
Mengenai masa depan Bersama, Hassan menjangkakan parti itu boleh menjadi pemecah undi utama di banyak kerusi bandar dan mungkin hanya memenangi beberapa kerusi pada PRU16, sebahagian besarnya disebabkan pengaruh Rafizi.
“Terus terang, Rafizi mungkin mampu mempertahankan kerusi Pandan kerana personalitinya, tetapi tiga lagi perlu memahami bahawa terdapat ramai penyokong DAP di kawasan yang pernah mereka wakili.
“Paling banyak, mereka mungkin hanya membantu mengurangkan majoriti calon PH,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.