Tengku Hassanal kerabat diraja pertama tamat kursus asas helikopter

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mencatat sejarah sebagai kerabat diraja pertama menjalani dan menamatkan kursus asas penerbangan helikopter di Kolej Tentera Udara (KTU).
Baginda merupakan antara 40 peserta yang menamatkan latihan dan menerima sayap penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang dikurniakan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, merangkap kolonel Yang Dipertua TUDM, pada Istiadat Perbarisan Pengurniaan Sayap Penerbangan 2026 di Padang Kawad KTU.
Selain Tengku Mahkota Pahang, sayap berkenaan turut dikurniakan kepada 39 pelatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), terdiri 37 juruterbang muda dan dua jurusensor senjata-pejuang daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.
Istiadat itu melibatkan pelatih daripada empat kursus penerbangan iaitu kursus asas penerbangan helikopter siri 67(A)/26, kursus asas penerbangan helikopter siri 67/25, kursus asas penerbangan siri 87/25 serta kursus asas jurusensor senjata-pejuang siri 01/25.
Tengku Mahkota Pahang mengikuti kursus asas penerbangan helikopter siri 67(A)/26 dari 2 Jun hingga 31 Julai lalu menggunakan helikopter EC120B Colibri dan berjaya menyempurnakan serta lulus dengan cemerlang dalam beberapa penilaian penerbangan merangkumi ‘Basic Handling Test’ (BHT), ‘Instrument Flying Test’ (IFT), ‘Final Navigation Test’ (FNT), dan ‘Final Handling Test’ (FHT).
Dalam istiadat itu, turut berlangsung pengurniaan enam anugerah kepada pelatih terbaik berdasarkan pencapaian dalam aspek penerbangan, akademik, disiplin dan kepimpinan.
Panglima Tentera Udara Muhamad Norazlan Aris, berkata kejayaan Tengku Mahkota Pahang dan para pelatih lain menamatkan latihan merupakan hasil ketekunan, semangat juang, ketahanan mental serta disiplin tinggi yang diterapkan sepanjang latihan.
Beliau berkata di sebalik setiap kejayaan, terdapat ibu bapa dan ahli keluarga yang tidak pernah putus berdoa, selain memberikan dorongan dan semangat sepanjang para graduan menempuh latihan.
“Pengurniaan sayap penerbangan bukanlah penamat kepada sebuah perjalanan. Sebaliknya, ia merupakan permulaan kepada amanah dan tanggungjawab yang jauh lebih besar.
“Mulai hari ini, sayap yang tersemat di dada membawa bersama-samanya maruah, harapan dan kepercayaan perkhidmatan serta negara,” katanya ketika berucap pada istiadat berkenaan.
Norazlan berkata, setiap pemakai sayap dituntut untuk sentiasa memartabatkan disiplin, integriti, keberanian, dan kesetiaan dalam melaksanakan amanah serta mempertahankan kedaulatan ruang udara negara.
Beliau berkata dengan ilmu, kemampuan dan keperibadian yang diterapkan sepanjang latihan, semua mereka diyakini mampu melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi demi agama, bangsa, dan negara.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.