PTPTN galak ibu bapa mula menabung awal untuk pendidikan anak

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggalakkan ibu bapa membudayakan amalan menabung sejak awal sebagai persediaan membiayai pendidikan anak-anak.
Usaha itu diteruskan menerusi Sambutan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026 yang berlangsung dari 25 Sept hingga 1 Nov dan kini memasuki tahun kesembilan penganjurannya sejak 2018.
Sambutan peringkat Pulau Pinang di Mydin Bukit Mertajam disempurnakan Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim, manakala program sama turut berlangsung serentak di 12 negeri lain.
Norliza berkata BMS bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi usaha menyemarakkan budaya menabung sebagai persediaan awal untuk pendidikan anak-anak.
“Melalui Simpan SSPN, PTPTN terus membantu ibu bapa merancang pendidikan anak-anak dengan lebih teratur dan berhemah.
“Saya berharap usaha ini akan terus menyemarakkan budaya menabung dalam kalangan masyarakat serta menyemai kesedaran bahawa setiap simpanan hari ini adalah langkah penting ke arah masa depan pendidikan yang lebih terjamin,” katanya dalam kenyataan.
Antara aktiviti diadakan sepanjang sambutan itu ialah pertandingan mewarna, Simpan SSPN Got Talent, pertandingan pakaian beragam, kaunter promosi Simpan SSPN dan saringan kesihatan.
PTPTN berkata Simpan SSPN menawarkan antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun dan Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak.
Ia turut menawarkan perlindungan takaful percuma kepada pendeposit, kadar dividen kompetitif, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan.
PTPTN berkata ia akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menabung melalui Simpan SSPN bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman untuk membiayai pendidikan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.